CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 2027|Reply: 2

SYIAH BERBAJU SUNNI VS IBN TAIMIYYAH

[Copy link]
Post time 17-12-2015 08:04 AM | Show all posts |Read mode
DrMAZA.com
9 hrs ·

Oleh kerana terdapat pihak yang cuba mengheret pihak keselamatan dengan memfitnah Ibn Taimiyyah dan terdapat rakyat yang diberikan gambaran salah tentang Ibn Taimiyyah, maka tulisan ini akan cuba menjawab sebahagian dari fitnah itu dalam beberapa siri.

SYIAH BERBAJU SUNNI VS IBN TAIMIYYAH (siri 1)

Tulisan ini merupakan penilaian ringkas berkaitan beberapa perkara yang disebut dalam sebuah buku bertajuk “Salafiyah Wahabiyah: Suatu Penilaian” karya Zamihan bin Mat Zin al-Ghari yang merupakan murid tokoh ‘Syiah berbaju Sunni’ iaitu Hasan Saqqaf. Buku setebal 155 muka surat itu diterbitkan oleh Pustaka Yamien Sdn Berhad. Antara fokus utama penulis buku ini ialah menyerang ketokohan seorang sarjana terkenal umat Islam iaitu Ibn Taimiyyah, atau Abu ‘Abbas Ahmad bin ‘Abd al-Halim bin ‘Abd al-Salam bin Taimiyyah (661H-728H).

Pengaruh Syiah Berbaju Sunni

Penulis buku ini mengaku beliau adalah pengikut Hasan bin `Ali al-Saqqaf (السقاف) dari Jordan. Perkataan al-Saqqaf pada namanya bererti beliau berasal dari rumpun (clan) keluarga tersebut. Hasan al-Saqqaf yang menjadi guru penulis berkenan, beberapa aliran pemikirannya adalah pro-syiah. Tokoh-tokoh ulama Jordan menyenaraikannya dalam senarai Syiah. Dia mengkafirkan para sahabah yang terlibat dalam peperangan dengan ‘Ali. Namun beliau cuba menonjolkan diri bahawa beliau seorang Ahl al-Sunnat dan bermazhab al-Imam al-Syafi`i. Dalam bukunya, Sahih Sifat Salat al-Nabi beliau menyebut: “Maka jelas bahawa hadith (kamu tidak akan sesat selagi kamu berpegang dengan) “kitab Allah dan kaum keluargaku (Nabi s.a.w.)” itulah yang sahih lagi thabit di dalam Sahih Muslim, adapun lafaz (berpegang) dengan Kitab Allah dan sunnahku” adalah batil dari segi sanad dan tidak sahih. Maka hendaklah para khatib, penceramah dan imam meninggalkan lafaz ini..” (rujukan: Hasan al-Saqqaf, Sahih Sifat Salat al-Nabi, m.s. 294, Jordan : Dar al-Imam al-Nawawi (1993).
Dalam buku Salafiyyah Wahabiyyah, penulisnya (Zamihan) mencatitkan nasihat gurunya itu, dengan katanya: “Aku berpesan kepada engkau agar beriltizam dengan jalan ahli al-Haq dan Ahli Bait (kaum keluarga)”(m.s. ijazah am). Hasan al-Saqqaf juga memarahi Ibn Taimiyyah kerana menyatakan para ulama sepakat bahawa Saiyyidina Abu Bakar dan `Umar lebih afdal daripada Saiyyidina `Ali. Muridnya yang menulis buku ini turut membuat bantahan yang sama dalam buku tersebut (lihat m.s. 111).

Ibn Taimiyyah VS Syiah

Oleh kerana di dalam Ahl al-Sunnah, Ibn Taimiyyah adalah tokoh yang paling hebat mempertahankan aqidah aliran ini dan menyerang hujah-hujah Syi`ah, maka Ibn Taimiyyah sering diserang balas dalam penulisan-penulisan Syi`ah. Tokoh pendakwah Islam yang terkenal di kurun ini, Abu al-Hasan `Ali al-Nadwi dalam bukunya yang ditulis khas mengenai sejarah perjuangan Ibn Taimiyyah sebagai tokoh pemikir dan dakwah yang terbilang, bertajuk “Al-Hafiz Ahmad bin Taimiyyah berkata: “Sesungguhnya al-Imam Ibn Taimiyyah telah bangkit menjawab Syi`ah dalam banyak tempat dalam buku-bukunya. Dia telah benar-benar menunaikan tanggungjawab dengan kuatnya mempertahankan Sunnah, aqidah Ahl al-Sunnah, al-Khulafa al-Rasyidin dan para sahabah yang mulia r.a. Di samping itu dia mengkhususkan menjawab Syi`ah dalam sebuah kitab khas, dinamakan “Minhaj al-Sunnah al-Nabawiyyah fi Naqd Kalam al-Syi`ah wa al-Qadariyyah (ertinya: Jalan Sunnah Nabi dalam menolak pendapat Syi`ah dan Qadariyyah). (rujukan: Abu Hasan `Ali al-Nadwi, Al-Hafiz Ahmad bin Taimiyyah, m.s. 213 Kuwait: Dar al-Qalam (t.t)

Guru penulis Hasan al-Saqqaf begitu marah kepada buku “Minhaj al-Sunnat al-Nabawiyyat fi Naqd Kalam al-Syi`ah wa al-Qadariyyat karya Ibn Taimiyyah tersebut. Murid yang setia selalu mengikuti jejak langkah gurunya.

Memburukkan Ibn Taimiyyah

Di sini dibawa beberap contoh yang dilakukan oleh pengarang buku Salafiyyah Wahhabiyyah (Zamihan) yang merupakan murid syiah berbaju sunni tersebut dalam percubaan menggambarkan permusuhan para ulama atau sarjana muslim dengan Ibn Taimiyyyah;

1. Pada muka surat 70-76, beliau menyenaraikan pertentangan pendapat para imam-imam Ahl al-Sunnah dengan Ibn Taimiyyah. Lalu beliau memetik nas-nas para imam berkenaan yang bukan ditujukan kepada Ibn Taimiyyah. Antaranya, al-Imam al-Nawawi yang meninggal pada tahun 676 hijrah, sedangkan Ibn Taimiyyah lahir pada tahun 661 hijrah. Beliau tidak mengenali Ibn Taimiyyah.

2. Begitu al-Imam Ibn al-Jauzi yang meninggal pada tahun 598 hijrah.

3. Beliau juga meletakkan tajuk (m.s. 75) “Percanggahan pendapat Ibn Taimiyyah dengan Imam al-Hafiz al-Sayuti”. Sedangkan Ibn Taimiyyah telah meninggal 121 tahun sebelum kelahiran al-Sayuti pada tahun 849H dan meninggal pada 911H. Jika beliau sebut “percanggahan pendapat al-Sayuti dengan Ibn Taimiyyah”, maka itu lebih munasabah. Beliau juga memetik nas al-Sayuti yang tiada kena mengena dengan Ibn Taimiyyah. Dengan cara ini pembaca akan menyangka al-Imam al-Sayuti dalam hayatnya tidak sukakan Ibn Taimiyyah. Sedang al-Sayuti memasukkan Ibn Taimiyyah dalam senarai huffaz hadith (para hafiz hadith), dalam kitabnya Tabaqat al-Huffaz, al-Sayuti yang bermazhab Syafi’i itu memperkenalkan Ibn Taimiyyah seperti berikut: “Ibn Taimiyyah, seorang syaikh, imam, al-`allamah (sangat alim) hafiz, seorang yang kritis, faqih, mujtahid, seorang penafsir al-Quran yang mahir, Syaikh al-Islam, lambang golongan zuhud, sangat sedikit sepertinya di zaman ini,..salah seorang tokoh terbilang..memberi perhatian dalam bidang hadith, memetik dan menapisnya, pakar dalam ilmu rijal (para perawi), `illal hadith (kecacatan tersembunyi hadith) juga fiqh hadith, ilmu-ilmu Islam, ilmu kalam dan lain-lain. Dia daripada lautan ilmu, daripada cendikiawan yang terbilang, golongan zuhud dan tokoh-tokoh yang tiada tandingan..”( rujukan: Al-Sayuti, Tabaqat al-Huffaz, m.s. 516, Kaherah: Maktabah Wahbah (1402H).

4. Demikian juga (m.s 76) Zamihan, meletakkan tajuk “Pencanggahan Pendapat Ibn Taimiyyah dengan Imam al-Zarqani”. Beliau memetik ungkapan al-Zarqani yang tiada kena mengena dengan Ibn Taimiyyah daripada kitab Manahil al-`Irfan. Beliau cuba menggambarkan pertentangan yang sebenarnya tidak wujud sama sekali. Sebaliknya dalam buku itu sendiri penulisnya Muhammad `Abd a-`Azim al-Zarqani (meninggal 1367H), banyak memetik pendapat Ibn Taimiyyah dengan hormatnya. Pada semakan saya, sebanyak lima kali al-Zarqani memetik pendapat Ibn Taimiyyah dalam kitabnya tersebut. Dalam cetakan yang pada tangan saya pada jilid pertama muka surat 78 dan 90, pada jilid kedua pada muka surat 162, 192, 202 (rujukan: Al-Zarqani, Manahil al-`Irfan, 1/109, Beirut: Dar al-Fikr (1988). Bahkan muka surat 202 beliau menamakan Ibn Taimiyyah sebagai Syeikh al-Islam, katanya: “Kata Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah: “Khilaf di dalam tafsir itu ada dua jenis….” .

Bersambung......

https://www.facebook.com/DrMAZA/posts/10153853527497990
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 18-12-2015 08:38 AM | Show all posts
DrMAZA.com
59 mins ·

SYIAH BERBAJU SUNNI VS IBN TAIMIYYAH (siri 2)

Pada siri 1 yang lepas telah diterangkan bagaimana Hasan Saqqaf (Syiah Berbaju Sunni) dan Syiah secara keseluruhannya yang memusuhi Ibn Taimiyyah dan melakukan tipudaya terhadap orang ramai mengenai Ibn Taimiyyah. Bahkan Syiah dalam pelbagai tulisan mereka menipu orangramai dalam pelbagai hal khususnya berkaitan fakta para sahabat Nabi s.a.w.

Demikianlah dilakukan oleh Zamihan, anak murid Hasan Saqqaf ini dalam tulisannya mengenai Ibn Taimiyyah.

Di sini disebut beberapa contoh yang berlaku dalam buku Salafiyyah Wahhabiyyah tulisan Zamihan Mat Zain ini;

1. Dalam muka surat 127 digambarkan seolah-seolah seorang sarjana besar bidang hadith iaitu Al-Hafiz Ibn Hajar al-`Asqalani (meninggal 852H) dalam karyanya Al-Durar al-Kaminah mempertikaikan `aqidah Ibn Taimiyah. Penulis Salafiyah Wahabiyah tersebut membuat terjemahan yang tidak tepat seperti berikut: “para ulama telah menggelarkan Ibn Taimiyyah dengan tajsim berdasarkan apa yang telah beliau tulis., Ibn Hajar menambah lagi: “dia dihukum dengan munafiq kerana perkataannya terhadap Saidina `Ali”.

Namun jika dirujuk kepada teks asal:
وافترق الناس فيه شيعا فمنهم من نسبه إلى التجسيم
maka terjemahannya sepatut begini: “Orang ramai telah berbeza pendapat mengenainya kepada beberapa golongan, di kalangan mereka, ada yang mengaitkannya dengan tajsim…”. (al-`Asqalani, al-Durar al-Kaminah, 1/181, Haidar Abad: Dairah al-Ma’arif al-Uthmaniyyah (1972).

Ini tentu berbeza dengan apa yang disebut oleh Zamihan “para ulama telah menggelarkan Ibn Taimiyyah dengan tajsim”.
Adapun tentang nifaq yang disebut oleh Ibn Hajar:
ومنهم من ينسبه إلى النفاق لقوله في علي
Maka terjemahan yang sepatutnya: “dalam kalangan mereka ada yang mengaitkannya dengan nifaq disebabkan pendapatnya mengenai ‘Ali”.( Ibid 1/182)

Ini sama sekali berbeza dengan terjemahan penulis “dia dihukum dengan munafiq kerana perkataannya terhadap Saidina `Ali”.

Zamihan cuba menggambarkan bahawa Ibn Hajar al-‘Asqalani menilai Ibn Taimiyyah dengan penilaian yang rendah dan bersalah, padahal jika dibaca seterusnya karya tersebut Ibn Hajar meneruskan ceritakan mengenaikan fitnah yang menimpa Ibn Taimiyah, sehingga Ibn Hajar menyebut:
“Ibn Taimiyyah terus dipenjara sehingga kembali ke rahmat Allah. Kepada Allah juga kembali segala urusan. Dia memerhatikan mereka yang khianat dan apa yang disembunyikan di dalam dada. Hari kematian Ibn Taimiyyah itu menjadi bukti, manusia memenuhi jalan menyambut jenazahnya, orang Islam datang dari serata pelusuk. Mereka mengambil keberkatan dengan menghadiri jenazahnya, pada hari yang ditegakkan bukti, mereka semua ingin memegang usungannya sehingga patah kayunya (Ibid 1/184).

Maka jelas Zamihan telah menukilkan secara tidak amanah maksud sebenar Ibn Hajar al-`Asqalani.

2. Pada muka surat 128 penulis Salafiyah Wahabiyah (Zamihan), juga cuba menggambarkan seolah-olah al-Hafiz al-Zahabi (meninggal 848 hijrah), yang juga salah seorang murid utama Ibn Taimiyyah, mempertikaikan Ibn Taimiyyah, demikian juga al-Imam al-Subki yang hidup di zaman itu, yang menjadi murid kepada al-Zahabi. Beliau menyembunyikan apa yang al-Hafiz Ibn Hajar al-`Asqalani sebut dalam kitabnya di atas, al-Durar al-Kaminah. Sebenarnya al-Hafiz Ibn Hajar al-`Asqalani, selepas mencerita sejarah kewafatan Ibn Taimiyyah, memetik ucapan al-Imam al-Zahabi yang memuji-muji gurunya Ibn Taimiyyah, sehingga kata Ibn Hajar:

“Al-Zahabi telah menulis surat kepada al-Subki, lantas memarahinya di atas perkataannya terhadap Ibn Taimiyyah. Al-Subki menjawabnya, antara jawapannya: “Adapun apa yang tuan katakan mengenai al-Syeikh Taqiyuddin (Ibn Taimiyyah), maka hamba ini (saya) telah pun pasti ketinggian kemampuannya, limpahan dan keluasan lautan ilmunya dalam naql (al-Quran dan al-Sunnah) dan akal, kehebatan kebijaksanaan dan ijtihadnya, juga dia mencapai kesemuanya itu lebih dari yang disifatkan. Hamba ini (saya) sentiasa akan mengakuinya. Nilaiannya (Ibn Taimiyyah) pada diri ini, lebih besar dan mulia dari segalanya. Dengan apa yang telah Allah himpunkan padanya dari sifat zuhud, warak, kuat beragama, membela dan menegakkan agama kebenaran semata-mata kerana Allah. Dia melalui perjalanan ulama salaf dengan sepenuhnya, sangat asing orang sepertinya pada zaman ini bahkan di mana-mana zaman pun”. Sehinggalah Ibn Hajar menyebut: “Ibn Taimiyyah imam kepada semua para imam, keberkatan umat, yang sangat alim di kalangan ulama, pewaris para anbiya..” sehinggalah beliau megelarnya sebagai “Syeikh al-Islam” (Ibid 1/185).

Bahkan al-Zahabi menyenaraikan gurunya itu di dalam kitabnya Tadhkirah al-Huffaz yang dikhaskan untuk para hafiz dalam hadith. Beliau memuji Ibn Taimiyyah dengan pujian yang sangat hebat juga menggelarnya dengan gelaran Syeikh al-Islam, antara katanya: “Ibn Taimiyyah: seorang syeikh, imam, al-`allamah (sangat alim), al-hafiz (dalam hadith), seorang yang kritis, mujtahid, penafsir (al-Quran) yang mahir, beliau adalah Syeikh al-Islam….dari lautan ilmu, dari para cendikiawan yang terbilang, dari golongan zuhud yang sukar dicari, dari tokoh-tokoh yang berani dan pemurah lagi mulia, dipuji oleh penyokong dan penentang”. (rujukan: Al-Zahabi, Tazkirah al-Huffaz, 4/192, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah (1998).

3. Pada muka surat 132 dan ke atas, buku Zamihan cuba menggambarkan seolah-seolah, seorang penulis ternama di kurun ini Muhammad Abu Zahrah juga menolak dan tidak menyukai Ibn Taimiyyah berdasarkan kitabnya Tarikh al-Mazahib al-Islamiyyah. Sebenarnya, sesiapa yang membaca buku Muhammad Abu Zahrah tersebut akan melihat bagaimana beliau memuji dan membela Ibn Taimiyyah. Bahkan Muhammad Abu Zahrah ada menulis buku khas dengan tajuk “Al-Imam Ibn Taimiyyah”, membela dan memuji sejarah perjuangannya. Petikan sebenar daripada kitab Tarikh al-Mazahib al-Islamiyyah, kata Syeikh Muhammad Abu Zahrah ketika selesai menceritakan sejarah Ibn Taimiyyah:
“Demikian itu kita lihat pendirian Ibn Taimiyyah terhadap al-Nasir (pemerintah di zamannya) sama seperti pendirian (al-Imam) Izz al-Din `Abd al-Salam dan Muhyi al-Din al-Nawawi. Maka berterusanlah rangkaian para ulama yang membela Islam. Bahkan Ibn Taimiyyah melebihi mereka berdua kerana dia menghunuskan pedang di medan jihad. Dia telah diberi ujian dengan sebab pandangan-pandangannya dalam agama. Dia meninggal dalam keadaan Allah meredhainya, dalam penjara yang sempit, semoga Allah meredhai dan memuliakan tempat tinggalnya (syurga) dan mengurniakannya sebaik-baik balasan di atas sumbangannya kepada ilmu dan Islam” (rujukan: Abu Zahrah, Tarikh al-Mazahib al-Islamiyyah, m.s. 648, Kaherah: Dar al-Fikr al-`Arabi (1979).

Jelas, ini amat berbeza dengan apa yang cuba digambarkan penulis buku berkenaan kepada pembaca.

Bersambung...

https://www.facebook.com/DrMAZA/posts/10153856291207990
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 18-12-2015 08:41 AM | Show all posts

https://www.facebook.com/promediatajdid/videos/508202342693862
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

7-2-2025 08:19 PM GMT+8 , Processed in 0.060059 second(s), 19 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list