Lebih kurang sedekad yang lepas, gadis itu dilahirkan. Hani.
Kelahirannya mungkin tidak memberi erti yang signifikan, memandangkan dia dilahirkan dalam keluarga yang besar. Sudah punya kakak dan abang, dia mungkin hanya sekadar penambahan ahli dalam keluarga itu.
Ada banyak perkara yang kabur ketika dia membesar. Perkara- perkara yang dialami ketika berusia kurang 5 tahun- memang sukar diingat. Yang dia ingat, salah satunya ketika dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari selatan tanah air. Mungkin ketika berusia 3-4 tahun. Pesawat boeing terbang megah di langit. Dia menjerit dari dalam kereta, “Tebang! Tebang!”, merujuk kepada kapal terbang. Ayah tertawa melihat telatahnya sambil meneruskan pemanduan. Indah, ya, saat itu memang indah.
Ada lagi.
Mungkin ketika itu dia berusia 4 tahun. Dia suka ke rumah makciknya di kampung sebelah dengan abang. Dia suka dengan bau sabun Dettol yang menyegarkan di bilik air rumah Mak Teh. Memang dia suka sangat mandi di rumah Mak Teh. Di situ ada shower faucet, airnya sejuk sekali. Kalau di rumah sendiri, harus menggunakan gayung, guna tadahan air besin. Di rumah Mak Teh, dia merasakan seperti mandi di hotel. Rasa mewah, walau sekadar pancuran air dari shower, dan haruman Dettol.
Ada lagi.
Kadang- kadang orang suka cubit dia sebab gadis itu agak comel ketika kanak- kanak. Dia rasa senang. Dan membuatkannya lupa pada perasaan- perasaan kurang enak.
Itu yang indah- indah. Yang kurang indah pun ada.
Dia selalu buat kanak- kanak kecil sebayanya menangis. Yang selalu jadi mangsa buli ialah adiknya. Dan sepupu lelaki, Hans, yang muda setahun darinya. Dia masih ingat dulu abang bawa dia pulang dari rumah Mak Teh dengan Hans sambil Hans menangis. Nak bawa Hans pada Mak Teh yang sedang mengaji di surau. Sepanjang perjalanan ada jiran menegur kenapa menangis, abang menjawab Hani punya kerja. Hani tak ingat apa reaksi jiran tersebut. Dia juga tidak ingat apa yang dilakukan pada Hans. Sungguh.
Gadis itu tahu waktu kecil- kecil dahulu dia nakal. Dan dia garang. Tapi dia tidak pasti kenapa.
Dia suka cubit adiknya yang setahun muda daripadanya. Mungkin kerana cemburu adik mendapat lebih perhatian. Dan orang sekeliling lebih sayangkan adiknya. Mungkin dia cemburu. Tapi dia tak ingat sangat. Sungguh. Dia tak pasti apa yang menyebabkan dia garang begitu. Yang dia ingat, ketika berumur 5 tahun, semua orang mula menggelarkannya singa. Gadis itu benar- benar sedih. Rasa tersisih dan dibenci. Mengapa? Teruk sangatkah aku? Soalan itu hanya berlegar di minda dan tidak pernah terluah.
Dan, dia tidak pernah tahu perasaan- perasaan itu akan membawanya kepada kerusakan yang tidak pernah dibayangkan di kemudian hari.
|