|
KETUA Jurulatih skuad kebangsaan, Dollah Salleh berharap pemain 'Harimau Malaya' akan bangkit untuk mencipta kemenangan menentang Palestin pada aksi kedua kempen Kelayakan Piala Dunia 2018, esok.
Skuad kebangsaan, yang sekadar seri 1-1 menentang Timor Leste pada aksi sulung Kumpulan A, Khamis lepas, perlu menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri untuk menggutip tiga mata penuh di Stadium Nasional Bukit Jalil.
"Berdasarkan keputusan pasukan Palestin menentang Arab Saudi Khamis lalu, itu membuktikan Palestin begitu bersedia dan kita tidak boleh pandang rendah. Saya percaya, yang penting kita bagi yang terbaik dan pastikan kesilapan menentang Timor Leste tidak akan berlaku lagi.
"Saya harap pemain akan memberi persembahan 100 peratus. Berdasarkan dari segi latihan dua tiga hari ini, saya nampak pemain bagi komitmen dalam latihan dan nampak begitu serius dan percaya esok mereka akan mempersembahkan apa yang kita harapkan," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat pengurus pasukan di Stadium Nasional, hari ini.
Pengendali berusia 51 tahun itu juga tidak memandang rendah kekuatan Palestin yang kalah tipis 3-2 kepada Arab Saudi dengan gol kemenangan diperoleh pada minit terakhir perlawanan.
Dollah mengesahkan bahawa pemain tengah Putera Nadher Amarhan Maderner yang lebih dikenali sebagai Junior Eldstal tidak dapat beraksi kerana kecederaan tendon koyak sementara nasib Joseph Kalang Tie, yang mengalami kecederaan di bahagian buku lali, akan ditentukan selepas latihan terakhir hari ini.
Sementara itu, jurulatih Palestin, Abdel Nasser Barakat, yang melakukan rombakan selepas beraksi buat kali pertanma pada Piala AFC 2015 di Australia, Januari lepas, yakin pasukannya akan mencatat kemenangan esok.
“Kemenangan ke atas Malaysia akan memberi keyakinan kepada pasukan muda ini untuk perlawanan seterusnya,” katanya.
"Kebanyakan pemain adalah muka baharu dengan 15 pemain berusia 20 dan 24 tahun ini. Kemenangan di sini penting untuk permulaan baik bagi kami," katanya.
Bagi pusingan kelayakan Piala Dunia 2018 di Rusia, yang juga pusingan kelayakan bagi Piala Asia di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) 2019, Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama UAE, Palestin, Arab Saudi dan Timor Leste.
Pada satu lagi aksi kelayakan Kumpulan A esok, pasukan Timor Leste akan bertemu dengan UAE di Stadium Shah Alam. - Bernama
[url=]
[/url]
|
|