|
PEMAIN perseorangan negara, Liew Daren mengakui dia tidak yakin untuk berada dalam kelompok 16 terbaik dunia bagi melayakkan diri secara automatik ke Sukan Olimpik tahun depan.
Bagi Daren, berdasarkan ranking yang dipegang ketika ini agak sukar untuk merealisasikan impiannya ke Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil kerana dia perlu memenangi banyak kejohanan.
Berdasarkan ranking terkini dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Daren berada di kedudukan 85 dunia.
Malah katanya, dia juga perlu menguatkan kembali keadaan fizikal serta mendapat semula keyakinan untuk menyertai kejohanan akan datang selepas masih bergelut dengan kecederaan dan baru pulih dari deman denggi.
“Berdasarkan kedudukan sekarang, saya fikir nak masuk kelompok 30 terbaik dunia mungkin sesuatu yang boleh dicapai, bagaimanapun sekiranya saya ingin berada dalam 16 terbaik dunia, memerlukan usaha yang keras.
"Ia bukan tugas mudah kerana semua pemain dunia terutama dari China akan menyertai setiap kejohanan kerana mereka juga memburu tempat pada sukan Olimpik.
“Saya juga perlu menang banyak perlawanan pada kejohanan akan datang kalau nak masuk kelompok 16 terbaik dunia pada Mei tahun depan. Dengan apa yang sudah terjadi pada tahun ini, sukar untuk saya mengatakannya,” katanya
Meskipun ia dilihat cukup sukar, Daren tetap mahu mencuba layak ke Olimpik.
Daren berkata, dia mahu kembali fokus untuk kejohanan yang disertai pada masa akan datang selepas terlantar di hospital selama tiga minggu akibat demam denggi.
“Tahun ini ranking saya jatuh kerana tidak menyertai banyak kejohanan. Harap selepas ini saya dapat memperbaiki kedudukan ranking dan cuba untuk layak ke Sukan Olimpik.
“Kalau prestasi baik, saya rasa sempat untuk memperbaiki ranking dan berpeluang ke Sukan Olimpik,” katanya.
Daren mengharungi pengalaman yang sukar dalam tempoh dua tahun ini apabila mengalami kecederaan kaki sehingga kerap direhatkan. Dia kemudian menghidap deman denggi sebelum mengalami masalah radang paru-paru sehingga direhatkan tiga minggu.
"Banyak kejohanan saya tidak dapat pergi iaitu di New Zealand, Amerika Syarikat dan Kanada kerana fizikal saya masih belum pulih sepenuhnya.
"Saya perlu menguatkan keadaan fizikal dan mendapat semula keyakinan untuk menyertai kejohanan selepas ini mungkin di Taiwan, Julai depan," katanya.
Tinggalkan BAM?
Daren mendedahkan bahawa dia berkemungkinan bakal meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia sekiranya gagal melayakkan diri ke Sukan Olimpik tahun depan.
Ujar pemain berusia 27 tahun itu, tahun depan merupakan peluang terakhir untuk beliau beraksi pada temasya berprestij tersebut.
Namun katanya, sekiranya impian itu tidak kesampaian, beliau akan memilih untuk beraksi secara bebas dengan menyertai kelab badminton tempatan.
"Saya juga ada impian untuk beraksi pada Sukan Olimpik dan tahun depan merupakan peluang terakhir, jika tidak berjaya saya mungkin akan tinggalkan BAM," katanya.
Tegas Daren, dia sendiri menyasarkan untuk tempoh setahun lagi bersama skuad kebangsaan bagi meningkatkan prestasinya dan jika gagal, dia sedia meninggalkan badan induk itu.
"Dalam skuad kebangsaan mungkin untuk tempoh setahun lagi. Kalau tak layak beraksi di Sukan Olimpik, saya akan tinggalkan BAM dan mungkin selepas itu bermain dengan kelab," katanya.
Info
NAMA: Liew Daren
UMUR: 27 tahun
TINGGI: 1.78 cm
RANKING: 85 (11.6.2015)
PENCAPAIAN: Juara Cabaran Antarabangsa Terbuka Poland 2015
Juara Terbuka Perancis 2012
sinarharian
|
|