|
Skuad bola sepak bawah 23 (B-23) negara menamatkan aksi Sukan SEA ke-28 dengan nota kemenangan setelah mencatat kemenangan selesa 3-1 ke atas Laos pada perlawanan terakhir kumpulan B di Stadium Bishan, malam ini.
Keputusan itu sedikit sebanyak menyelamatkan maruah skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu yang mendapat kritikan hebat daripada peminat bola sepak negara setelah gagal ke separuh akhir.
Juara bertahan, Thailand dan Vietnam mengisi slot separuh akhir setelah menduduki dua tangga teratas kumpulan B.
Pada aksi malam ini, Malaysia turun bagi menyelamatkan maruah negara apabila bermula baik menerusi serangan bertali arus ke kubu Laos.
Bagaimanapun, nasib lebih memihak pasukan kerdil itu apabila mendahului 1-0 pada minit ke-22 menerusi jaringan Soukchinda Natphasouk.
Tersentak dengan jaringan tersebut, skuad negara kembali memperkemaskan gerakan dan akhirnya menemui jaringan penyamaan hasil sepakan kencang penyerang, Muhammad Syafiq Ahmad pada minit ke-41.
Bersambung babak kedua, Laos mengubah rentak perlawanan dengan kerap menyerang kubu skuad negara bagi menggandakan jaringan, namun berjaya dipatahkan oleh barisan pertahanan negara yang diketuai Muhammad Amer Saidin.
Malaysia sebaliknya berjaya menambah jaringan kedua pada minit ke-70 selepas pemain pertahanan, Saiful Ridzuwan Selamat menanduk masuk sepakan percuma daripada Muhammad Faizat Ghazli.
Penyerang, Syahrul Azwari Ibrahim meledak gol ketiga untuk skuad B-23 negara, selang 10 minit kemudian menerusi tolakan mudah ke pintu gol Laos setelah memanfaatkan hantaran rakan sepasukan.
stadiumastro
|
|