|
PEMAIN nombor satu dunia dari Malaysia, Datuk Nicol David mara ke separuh akhir Terbuka Antarabangsa Alexandria 2015 selepas menewaskan pemain tuan rumah, Nour El Tayeb di Bibliotheca Alexandrina, Mesir pada Isnin.
Pilihan utama kejohanan itu mengambil masa 41 minit untuk memenangi perlawanan suku akhir tersebut dengan 11-5, 11-8 dan 11-9.
"Saya merasakan ia satu perlawanan yang menarik kepada penonton dengan Nour memberikan tentangan kepada saya.
"Ia perlawanan yang sengit dan keadaan di sana cukup panas. Saya gembira memenangi ketiga-tiga set," kata Nicol seperti dipetik dalam laman web www.squashsite.co.uk.
Pemain kelahiran Pulau Pinang berusia 31 tahun itu akan berdepan seorang lagi pemain Mesir yang juga pemain nombor sembilan dunia, Omneya Abdel Kawi yang menewaskan pemain England Alison Waters 8-11, 11-9, 2-11, 11-3 dan 11-3 pada satu lagi aksi suku akhir. - Bernama
|
|