Beregu wanita, Ho Ying dan Lee Rou You mengesahkan pingat pertama Sukan SEA Singapura buat kontinjen negara dalam acara ping pong, sekurang-sekurangnya gangsa, selepas mara ke pusingan separuh akhir esok di Stadium Tertutup Singapura.
Gandingan negara itu menewaskan gandingan Indonesia, Gustin Dwijayanti dan Kharisma Nur Hawwa, 11-6,11-8, 11-6 dalam saingan suku akhir hari ini.
Warna pingat mungkin bertukar kepada emas atau perak sekiranya gandingan negara itu menewaskan wakil tuan rumah, yang juga pemenang gangsa Kejohanan Dunia, Feng Tianwei dan Yu Mengyu di separuh akhir nanti.
"Kami bertuah apabila dalam undian, kami tidak menentang pasukan yang hebat pada pusingan awal. Tugas kami selepas ini lebih berat, walaupun susah untuk meraih kemenangan tetapi kami akan cuba sebaik mungkin," kata Ho Ying.
Skuad ping pong beregu wanita negara mencapai prospek pingat pertama buat negara selepas mara ke separuh akir di Singapura
Singapura turut mempertaruhkan Lin Ye dan Zhou Yihan menentang Komwong Nanthana dan Sawettabut Sutha dari Thailand dalam satu lagi saingan separuh akhir.
Beregu yang tersingkir di separuh akhir akan berkongsi pingat gangsa.
Bagaimanapun, impian untuk melihat kejayaan beregu lelaki musnah selepas kedua-dua pasangan negara tewas kepada lawan masing-masing.
Terdahulu, Muhd Shakirin Ibrahim dan Muhamad Ashraf Haiqal Muhammad Rizal tewas 12-10, 8-11, 11-6, 11-4 kepada Tran Tuan Quynh/Nguyen Ah Tu dari Vietnam.
Satu lagi pasangan negara, Wong Chun Cheun/Leong Chee Feng tunduk 5-11, 11-8, 6-11, 7-11 kepada Richard Gonzales dan Rdel Irineo Valle dari Filipina. sumber:www.stadiumastro.com
|