Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) belum mendapat kata muktamad bagi menyelesaikan isu berhubung hak penyiaran perlawanan dan pembayaran royalti persatuan bola sepak di negara ini.
Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata pelbagai perkara perlu diteliti sebelum keputusan berhubung isu itu dibuat antaranya meneliti kontrak terdahulu bersama pihak ASTRO.
"FAM akan memanggil semua presiden persatuan bola sepak dalam masa terdekat bagi menyelesaikan isu tersebut.
"Kami perlukan persetujuan semua persatuan bola sepak negeri kerana mereka juga ada hak untuk menyiarkan perlawanan mereka. Kalau boleh, semua pihak puas hati baru
kita dapat buat kenyataan muktamad berhubung perkara ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Yayasan Bank Rakyat dan Yayasan Sultan Abdul Aziz, di Istana Abdul Aziz, di sini hari ini.
Tengku Abdullah dalam pada itu berkata ahli gabungan boleh memilih untuk menerima cadangan FAM berhubung perkara itu dan setiap keputusan yang dibuat adalah berdasarkan persetujuan bersama.
Mengulas langkah penswastaan liga bola sepak negara ini, Tengku Abdullah berkata perkara itu sudah dipersetujui Exco FAM pada Disember tahun lalu dengan menjadikan
setiap pasukan yang beraksi dalam Liga Super dan Liga Perdana sebagai rakan kongsi FAM.
"Semua urusan berkaitan dengan penswastaan liga ini akan diuruskan Usahasama Liabiliti Bola Sepak Malaysia Berhad (FMLLP) yang diterajui oleh FAM. Perkara ini sudah dipersetujui sejak awal lagi.
"Ini bermakna, dengan struktur baharu ini, semua pasukan yang menyertai liga akan menerima bahagian masing-masing daripada kejayaan proses pengkomersialan liga pada masa akan datang.
"FAM akan terus memberi tumpuan dalam memastikan semua proses yang dirancang berjalan lancar. Kami juga akan meneruskan usaha pembangunan bola sepak yang dirancang termasuk pembangunan bola sepak di peringkat remaja, belia dan juga futsal... ini akan diteruskan seperti biasa," katanya.
sumber:www.stadiumastro.com
|