Keputusan sama ada pasukan Liga Super Kelantan akan menandatangani pemain import baharu bagi mengharungi baki saingan Liga Malaysia musim ini akan diketahui esok. Jurulatihnya Mohd Azraai Khor Abdullah berkata setakat ini pihaknya masih lagi menguji keupayaan kesemua pemain import yang hadir untuk menyertai pasukan berkenaan.
"Kita buat latihan bersama pemain import dan pada masa yang sama kita buat pengujian, kita mahu lihat keupayaan serta penyudah yang ada pada pemain berkenaan.
"Segala keputusan sama ada untuk mengikat pemain import adalah pada Khamis ini, kalau boleh kita mahukan penyerang yang baharu," katanya.
The Red Warriors (TRW) dilaporkan sedang menguji beberapa pemain iaitu Gilmar Jose Dos Santos Filho dari Brazil, Austin Amutu dari Nigeria serta Keiven Sami Goncalves Fernandes dan Bertino Joao Cabral Barbosa, kedua-duanya dari Portugal.
Mohd Azraai berkata pasukannya akan menggunakan skuad sedia pada pertemuan menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi Liga Super di Stadium Larkin, Johor pada Sabtu ini jika masih gagal menandatangani pemain import baharu.
"Kita akan guna pemain sedia ada sebab kita tidak tamatkan lagi kontrak pemain import sedia ada, selain itu saya sedang giat menjalankan latihan untuk meningkatkan lagi tahap kecergasan pemain," katanya.
Kelantan kini memiliki empat pemain import iaitu Emmanuel Kenmogne dari Cameroon, Isaac Pupo dari Liberia, Jonathan McKain dari Australia dan Erwin Carillo dari Colombia.
Kelantan kini berada di tangga ke-10 dalam Liga Super dengan tujuh mata, selepas hanya mencatat dua kemenangan daripada tujuh perlawanan.
sumber:www.stadiumastro.com
|