Jurulatih Angkatan tentera Malaysia (ATM), B. Sathianathan kini menjadi jurulatih kedua dalam saingan Liga Super yang direhatkan selepas George Boateng dikenakan tindakan sama oleh Kelantan. Tindakan merehatkan Sathianathan, diumumkan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Angkatan Tentera Malaysia, PBAT, Mejar Jeneral Datuk Mazelan Kasap sejurus tamat sessi latihan skuad ATM pada Selasa.
Sathianathan ketika ditemui menerima keputusan pucuk pimpinan PBAT terhadapnya dan menganggap dirinya sudah dipecat selaku jurulatih ATM.
Bagi bekas pengendali kebangsaan ini, ATM sebenarnya sudah mencapai peningkatan, namun gagal mengekalkan momentum di tahap terbaik selepas saingan Liga Malaysia rehat dua minggu, untuk aksi persahabatan antara skuad kebangsaan dan Oman pada 26 Mac lalu.
Penolong jurulatih ATM, Shahrin Majid kini dilantik selaku pemangku jurulatih ATM dan tugasan pertamanya ialah aksi Liga Super berdepan Sarawak 18 April ini.
Dalam pada itu, kapten, ATM Hairuddin Omar menyarankan rakan sepasukan meneruskan perjuangan kebangkitan pasukan itu dalam baki saingan Liga Super musim ini.
Bagi Hairuddin, biarpun terpaksa meleraikan ikatan dengan Sathianathan yang membimbing mereka sejak 2012, keputusan PBAT selaku majikan perlu dihormati dan diterima kesemua pemain.
Hairuddin juga percaya, Shahrin Majid yang kini memangku tugas jurulatih mampu melaksanakan tugas tersebut selepas empat musim menjadi penolong kepada Sathianathan. Prestasi ATM jelas merudum bermula musim 2014 lalu. ATM sebelum itu cemerlang hingga berjaya meraih naib juara Piala Malaysia 2012, malah juara Liga Perdana tahun sama dan Piala Sumbangsih 2013 di bawah kendalian Satianathan yang memulakan tugas pada 2011.
|