|
Kelab Bola Sepak Ipoh Friday's muncul juara Piala 1Malaysia selepas menewaskan SPT Indians Football Association 2-0 pada perlawanan akhir di Stadium Bola Sepak MINDEF, di sini hari ini.
Biarpun beraksi dengan 10 pemain, Kelab Bola Sepak Ipoh Friday's dari Perak yang dibimbing M. Sivakumar, ternyata menguasai permainan untuk mengetepikan cabaran lawannya dari Pulau Pinang itu.
Ipoh Friday's berada di hadapan menerusi jaringan A. Venothnaidoo pada minit ke-26, namun bersambung babak kedua, pasukan berkenaan terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas Muhd Zulhilmi Abdul Wahab dilayangkan kad merah kerana mengasari pemain lawan pada minit ke-39.
Kekurangan seorang pemain nyata tidak mematahkan semangat pemain Ipoh Friday's, malah mereka berjaya menambah jaringan pada minit ke-55 menerusi Azmawi Farhan Azhari.
Berikutan kejayaan itu, Kelab Bola Sepak Ipoh Friday's meraih RM15,000 dan ditawarkan menjalani latihan di bawah Pengalaman Kampus Yayasan Real Madrid yang dijangka diadakan di Kuala Lumpur.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang meluangkan masa menyaksikan perlawanan akhir tersebut, menyampaikan hadiah kepada pemenang.
Sementara itu, Sivakumar memuji barisan anak buahnya yang menampilkan semangat juang yang tinggi walaupun terpaksa beraksi dengan 10 pemain.
"Saya berterima kasih kepada pemain, mereka berusaha keras untuk meraih kemenangan hari ini. Saya berharap kejayaan mereka ini tidak terhenti setakat ini sahaja," katanya.
sumber:www.stadiumastro.com
|
|