|
Pasukan Selangor kembali menguasai carta kedudukan Liga Super selepas mencatat kemenangan 3-1 ke atas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Tunku Abdul Rahman, Paroi, malam ini.
Keputusan tersebut menyaksikan skuad The Red Giants yang sebelum ini menduduki tangga ketiga, berkongsi 14 mata dengan Felda United FC dan Terengganu, namun berada di puncak liga berdasarkan perbezaan gol.
Penyerang Afiq Azmi meletakkan Selangor di hadapan seawal minit kelapan sebelum ATM menyamakan kedudukan melalui pemain import dari Australia, Mario Karlovic pada minit ke-25.
Selangor kendalian Mehmet Durakovic mengesahkan kemenangan menerusi jaringan Afiq pada minit ke-51 dan pemain import dari Brazil, Leandro Dos Santos pada minit ke-71.
Di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Felda United bangkit daripada ketinggalan untuk melakar kemenangan tipis 3-2 ke atas Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Tiga gol skuad 'The Settlers' dijaringkan oleh Ahmad Syamim Yahya pada minit ke-27, Ndumba Makeche (86') dan Edward Junior Wilson ('90), manakala dua gol PDRM dihasilkan oleh kapten pasukan, Muslim Ahmad pada minit ke-23 dan penyerang import dari Maldives, Ali Ashraq pada minit ke-32.
Dalam pada itu, jaringan pemain pertahanan, Helmi Remeli pada penghujung babak kedua membantu Terengganu mengalahkan Perak 3-2 di Stadium Perak, Ipoh.
Terdahulu, kedua-dua pasukan terikat 2-2 dengan jaringan Terengganu menerusi pemain import dari Cameroon, Vincent Bikana pada minit ke-63 dan Ismail Faruqi Ashari pada minit ke-74.
Dua gol Perak pula menerusi pemain import dari Korea Selatan, Woong Namkung pada minit ke-20 dan penyerang import dari Brazil, Charles Chad Souza pada minit ke-81.
Pasukan Kelantan pula terus dirundung malang selepas mengalami kekalahan ketiga berturut-turut apabila kecundang 0-2 kepada Pahang di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Baharu.
Gol skuad Tok Gajah dijaringkan oleh dua pemain import mereka iaitu Damion Stewart pada minit ke-40 dan Dickson Nwakaeme pada minit ke-55.
Sarawak pula menamatkan badi tiga kekalahan berturut-turut, selepas menang tipis 2-1 ke atas wakil kelab Lembah Klang, Sime Darby FC di Stadium Negeri, Kuching.
Dua gol skuad 'Ngap Sayot' dijaringkan oleh pemain import dari Liberia, Patrick Nyema Gerhardt pada minit ke-47 dan Billy Mehmet pada minit ke-71, manakala gol saguhati pasukan pelawat dijaringkan oleh Reinaldo Elias da Costa pada minit ke-57.
Wakil Singapura, Lions XII dan Johor Darul Ta'zim (JDT) pula berkongsi satu mata selepas terikat tanpa jaringan pada aksi di Stadium Jalan Besar, Singapura.
sumber:www.stadiumastro.com
|
|