View: 2295|Reply: 1
|
Menjambankan kemajuan ‘Islam’
[Copy link]
|
|
JUGA DARI Faisal Tehrani
“Adakah ini satu usaha pincang untuk memaju atau menjabatankan Islam di Malaysia?” Demikian tanya temanku Liberto.
Remang-remang senja sedang menular warna jingga. Singapura di awal minggu, antara lain merajut kasih Sheikh Muhammed Hussin Topiwalla yang sedang uzur di wad 75 kamar 9 katil 4; juga mencari buku hak asasi manusia di Ngee Ann City, serta memesrai kawan lama. Di Kampung Glam Cafe kami sudah menikmati lontong, dua gelas teh laici dan sementara menunggu maghrib berkabung kami berbual-bual tentang agama.
Seakan-akan aku mendengar Liberto mengatakan antara dengar dan tidak ‘menjambankan kemajuan Islam’. Kalaupun Liberto memaksudkan jamban dan bukan jabatan, untuk berlaku adil aku masih mahu menyiasat asal-usul Islam Jabatan Malaysia.
“Menjabatankan urusan agama di bawah tadbir kerajaan sepertinya yang dilihat hari ini merupakan warisan penjajah Inggeris.”
Kening Liberto terangkat. Pertemuan jalan Bussorah dan lorong kecil menuju Masjid Sultan sudah mulai disesaki pelancong yang berkunjung ke kedai-kedai makan berhampiran. Meski senja sedang mengarak pantas, suasana sekitar kekal hingar.
“Apa maksudmu Zal?” Liberto tertunggu-tunggu aku menghurai ayat tergantungku sebentar tadi. Aku meneguk air, dan merodok keluar sebiji laici yang terakhir di sebalik ketul ais. Laici berpindah ke dalam mulut.
“Moshe Yegar, seorang penyelidik berbangsa Yahudi dan rakyat Israel dari Hebrew University of Jerusalem pernah menetap di Malaysia dari bulan November 1964 sehingga hujung 1965.
"Hasil penelitian Yegar, beliau menerbitkan sebuah buku akademik yang kandungannya memuji ‘kebijaksanaan British’ dalam memperkenalkan birokrasi Islam di Malaysia sehingga Islam akhirnya menjadi satu jurus yang tertentu dan terhad di bawah satu pentadbiran.”
Kening Liberto bertemu. Sepasang mata hijau lelaki kacak berbangsa Sepanyol yang sasa badannya itu kian menggesa.
“Islam and Islamic Institutions in British Malaya: Policies and Implementation.” Aku memberi judul buku. Dan menambah, “Terbitan The Hebrew University Jerusalem.”
“Seorang Yahudi bebas menetap di Malaysia dan melakukan kajian tentang jabatan agama?” Mata Liberto seperti namanya, bebas dan bundar.
“Mengapa? Kau anti-Yahudi?” Aku separuh menyergah.
“Bukan.” Liberto gesit menyanggah. Dia bukan rasis. Kemudian tanpa teragak-agak bertanya lanjut, “Apa katanya lagi?”
“Iya dong, penginstitusian Islam seperti yang terlihat pada jabatan kemajuan agama Islam hari ini; menurut Yegar dalam bukunya itu membuahkan semacam ‘authoritative Islam’ yang dipertahankan oleh Malaysia ketika itu dan hari ini sebagai ‘satu urusan di bawah takluk perlembagaan’ dan diangan-angan oleh ramai orang dalam kabut khayal sebagai undang-undang Islam versi Malaysia; yang dapat mengatasi undang-undang sivil dan meremehkan pundak sekularisme di Malaysia.”
“Bagaimana kalau ustaz di fakulti Islam tahu?” Liberto mengusik.
Kata Abdullah Taib
Aku tidak memakan duga.
“Jengkel tentunya. Tentulah sangat menjengkelkan buat ramai ‘agamawan konservatif’, hakikat bahawa seorang ahli akademik Israel seperti Moshe Yegar pernah hadir di negaraku dan ‘memuji’ pula warisan kepintaran British, iaitu pentadbiran agama Islam sebagai 'bermodel Barat’. ‘Pujian’ Moshe Yegar terhadap legasi penjajah Inggeris ini adalah bukti birokrasi Islam atau Islam Jabatan wajar dinilai semula hari ini. Bukankah mereka alergik dengan Yahudi?”
Kedai di seberang jalan, Jamal Kazura Aromatics tiba-tiba diserbu sejumlah pengunjung. Mataku buat seketika tertancap di situ.
“Tetapi bukankah baik jika ada pengurusan Islam sedemikian? Dapat menentukan halal atau haramnya DNA babi sebagai misalan?” Liberto menyoal lagi. Kali ini kukesani ia bukan lagi untuk menguji.
“Cet. Jika baik benar Islam dijabatankan, mengapakah antropologis Abdullah Taib mengkritiknya sedemikian tajam?”
Aku hafal benar, Abdullah menulis buku teks antropologi dan diterbitkan pada tahun 1985 oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dengan tajuk Asas-Asas Antropologi. Abdullah di halaman 226 menyatakan:
“Sejak tahun 1920-an beberapa buah negeri di Tanah Melayu telah menubuhkan majlis agama dan adat istiadat Melayu. Sehingga hari ini sudah hampir 60 tahun majlis itu berjalan atas nama seperti itu. Penubuhan majlis agama ini ialah hasil ‘kebijaksanaan’ penjajah Inggeris.”
Aku masih ingat bahawa penggunaan tanda kurung untuk ungkapan ‘kebijaksanaan penjajah Inggeris’ itu memang ada dalam teks. Aku kira ia menunjukkan rasa kurang selesa Abdullah Taib.
“Apa kata Abdullah Taib?” Liberto tertarik terus ke dalam kemelut perbincangan.
“Yang peranan jabatan agama Islam dalam menyudutkan nilai-nilai lokal dikritik secara halus, dan secara akademik tentunya. Islam Jabatan mendatangkan bahaya dari kemajuan.”
“Maksudmu?” Liberto tidak mahu aku meninggalkan saja topik bual tanpa benar-benar mengincah ke dagingnya.
“Ada sepuluh macam Melayu. Apek kalau mengena nama Ridhuan selepas memeluk Islam pun Melayu; Abdul Azeez berketurunan India tetapi ahli parti Melayu pun dihitung Melayu; Orang Asal di tengah hutan Gua Musang memanglah Melayu; Champa mengungsi diri dari Pol Pot juga Melayu... tetapi Islam bukan macam Melayu, bukan juga milik Melayu. Terdapat sepuluh macam Islam dan sebelas macam pemahamannya yang tidak boleh sewenang dijabatankan.
"Kalau Islam senang-senang dijabatankan tanpa mengira terdapatnya bermacam latar Islam justeru Islam dikurung, dan Islam dikekang dihurung. Islam Jabatan hanya mensia-siakan potensi Islam. Sudahlah Islam Jabatan itu warisan penjajah, tindak-tanduk gedebe penjajah itu juga mulai disalini dan ditiru semberono oleh pegawai-pegawainya.
"Bagaimana kalau Islam Jabatan itu banjiri dan diduduki oleh agamawan ‘non dialoguers’. Oleh agamawan dengan cara fikir teror? Maka Islam teror jugakah acuannya?”
Keharmonian beragama
Suaraku entah mengapa tegang. Seakan marah. Liberto tahu itu, tahu yang aku mulai tegang.
“Kau geram?” Tanya Liberto spontan.
“Bukan geram. Bahkan aku gundah. Kalau jabatan agama dihuni birokrat dalam kalangan ‘the non dialoguers’ maka jabatan agama secara otomatisnya akan menjadi ancaman besar kepada kemanusiaan.”
“Maksudmu bila agamawan tertutup, jumud, bukan pencinta dialog; jika mereka menguasai Jabatan Agama, maka dengan sendirinya Islam Jabatan akan menjadi Islam bom jangka yang berbahaya dan berisiko?” Liberto menangkap intinya.
“Tepat. Islam harus merdeka. Islam yang ditakluk dan dijabatankan tidak akan membawa apa-apa kemajuan. Malah ia akan menjambankan umat, menimbus umat ke dalam lubang hanyir yang dalam... membuatkan kita semua ketinggalan. Aduh Lib, aku sukar membayangkan jika jabatan Islam dikuasai puak samseng yang melanggar hak orang atas nama agama.”
Aku sungguh-sungguh gundah. Aku sungguh-sungguh marah.
Aku melempar pandangan ke arah Masjid Sultan. Ada rasa sebak yang mewabak. Mengapakah majlis agama Islam di Malaysia tidak dapat mengekori langkah Majlis Ugama Islam Singapura yang memupuk keharmonian beragama. Lihat sahaja di Geylang; di sebelahnya sebuah institusi danaan Arab Saudi terdapat sebuah pusat ibadat Buddha, dan menapak dua tiga ratus meter lagi terdapat pula sebuah pusat untuk penganut Syiah Imamiyyah. Semuanya terbang ke atas untuk menemukan Tuhan tanpa perlu mencurigai sesiapa.
Liberto bersuara perlahan, “Kristianofobia di negaramu?”
“Ya. Malang sekali.” Aku rasa pilu untuk mengakui. Perampasan Bible sebagai contoh boleh mendorong permusuhan besar. Dialog tidak diseru. Malah dialog dielakkan. Islam jabatan memupuk kecurigaan tanpa asas. Prasangka dan kecurigaan boleh mendorong kepada kemusnahan sebuah negara bangsa.
Aku mengangkat muka dan memandang Liberto, “Lib... apa fahammu terhadap Islam? Ya, sebagai Katolik asal Barcelona?”
Lama juga Liberto termenung. Kemudian ia bersuara, “Aku memahami Nabi Muhammad sebagai rahmat untuk semesta alam, rahmatan lil alamin, seperti yang Allah firmankan dalam al-Quran.”
Melafaz 'Allah'
Dalam kepalaku bergulir terjemahan ayat 107 surah Al-Anbiyaa’ berbunyi:
“Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (Wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.”
Liberto menyambung, “Dan kau... bagaimana kau memaham Kristian? Ya sebagai Sunni asal Kuala Lumpur?”
Aku tersenyum. Jika Liberto memetik al-Quran mengapa harus aku memetik yang lain.
“Aku memahami malah menyedari kedudukan al Masih sebagai ayatun lil alamin, tanda bagi kemanusiaan.”
Dalam benakku meratah firman Allah dalam surah yang sama pada ayat suci yang lain, terjemahannya:
‘Dan sebutkanlah peristiwa perempuan yang telah menjaga kehormatan dan kesuciannya; lalu Kami tiupkan padanya dari Roh (ciptaan) Kami, dan Kami jadikan dia dan anaknya sebagai satu tanda (yang menunjukkan kekuasaan kami) bagi umat manusia (Al-Anbiyaa’: 91)’.
Liberto tersenyum. “Demikian dekat Al-Quran menegaskan hubungan antara umat Kristian dan Islam, bukan sebaliknya. Kenyataan ini dapat dibaca menerusi firman Allah, terjemahannya:
“Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan dapati manusia yang keras sekali permusuhannya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik. Dan demi sesungguhnya engkau akan dapati orang-orang yang dekat sekali kasih mesranya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: ‘Bahawa kami ini ialah orang-orang Nasrani’. Yang demikian itu, disebabkan ada antara mereka pendita-pendita dan ahli-ahli ibadat, dan kerana mereka pula tidak berlaku sombong (Al-Maa’idah: 82)’.
Aku juga tersenyum. Terkesan sungguh kala Liberto menyebut ‘Allah’. Kristian yang tanpa khuatir melafaz Allah. Terkuntum bangga dalam dada.
“Setuju. Istilah rahmat alam semesta untuk Rasulullah dan tanda kemanusiaan untuk al Masih wajar menjadi satu titik penting untuk direnungi oleh umat kedua-dua agama untuk lebih berbaik sangka.”
Islam jabatan
Kami terputus berbicara seketika. Ya, itulah yang sewajarnya terjadi antara umat-umat beragama. Mengapa itu tidak berlaku?
Liberto bersuara memecah sunyi antara kami. “Inilah puncanya kau mengatakan Islam jabatan hanya menjambankan kita semua?”
“Menjambankan mereka. Kau dan aku, kita beza. Kita tidak akan bergelumang dalam kejahilan itu. Kita edisi terhad. Kita akan melawan. Kita akan memastikan Islam Jabatan tidak menjambankan kita juga. Kita akan bekerja di luar sistem untuk mengupayakan hubungan manusia dan mempertahankan hak-hak mereka.”
Senyum Liberto lebar. Terkesan lesung pipit di pipinya kedua-dua belah. Sayup-sayup serasa terdengar azan berkumandang dari Masjid Sultan.
Malam memanjat seluruh Kampung Gelam dan tertebar menjauh hingga ke Jalan Arab dan seisi Bugis. Malam merayap seisi pulau.
Hari ini di Singapura serasa merdeka. Esok pulang di laman sendiri serasa terpasung. Tatkala Islam dijabatan potensinya dijambankan.
Liberto lemak bersuara, “Ayuh, kau solatlah dulu. Aku tunggu.”
|
|
|
|
|
|
|
|
Huh!
[AceHand SPECTaceLAR]
Faisal Tehrani lagi...?
Jizzz... Klong! Klong!
|
|
|
|
|
|
|
| |
|