|
Aksi Stewart (kanan) ketika beraksi menentang pasukan Negeri Sembilan pada saingan peringkat Kumpulan Piala Malaysia, bulan lalu.
PEMAIN import pertahanan Pahang, Damion Delano Stewart, mahu Tok Gajah meraih kemenangan apabila bertemu PKNS FC di Stadium Shah Alam, Jumaat ini untuk pusingan suku akhir kedua Piala Malaysia 2013.
Bekas pemain Queens Park Rangers (QPR) itu berkata, kemenangan adalah misi utama bagi setiap pemain apabila beraksi.
Menurutnya, dia sedar keputusan seri sudah memadai buat Tok Gajah jika mahu mara ke separuh akhir Piala Malaysia 2013 namun baginya, lebih bermakna jika kemenangan diraih di Shah Alam nanti.
“Saya juga perlu memastikan bahagian pertahanan pada Jumaat ini lebih mantap apabila berdepan PKNS nanti.
“Lawan adalah pasukan yang sukar, jadi saya dan rakan-rakan perlu bekerja keras menjaga gawang Pahang daripada dibolosi,” katanya semalam.
Pemain kelahiran Jamaica itu memberitahu, corak permainan Tok Gajah adalah menyerang namun dalam masa sama, pertahanan pasukan juga perlu lebih kental.
Ditanya keputusan yang dilakar mencatat kemenangan tipis, 3-2 ke atas PKNS Jumaat lalu di Stadium Darul Makmur, pemain berusia 32 tahun itu gembira walaupun kurang berpuas hati gawang Pahang dibolosi dua kali.
“Saya harap untuk Jumaat ini, kelemahan yang ada dapat diperbaiki dan kalau boleh, tiada peluang lawan untuk membolosi gawang pasukan ini sekali gus layak ke separuh akhir,” katanya.
|
|