|
RATU skuasy negara Datuk dan pemain nombor dua negara Low Wee Wern memulakan langkah cemerlang apabila masing-masing melepasi halangan pertama pada Kejohanan Terbuka Malaysia CIMB 2013 di sini, malam ini.
Nicol, pemain nombor satu dunia, menepati ramalan apabila mengambil masa 35 minit untuk melakarkan kemenangan straight set 11-4, 11-6 dan 11-7 ke atas pemain daripada pusingan kelayakan, Lisa Aitken dari England.
"Saya terpaksa mengubah sedikit permainan kerana beliau adalah pemain kidal dan ini kali pertama berjumpa dengannya. Bagaimanapun, saya bermain dengan cara yang saya rancang," kata Nicol, yang memburu gelaran pertama Persatuan Skuasy Wanita (WSA) musim ini.
Pada saingan pusingan kedua, Nicol akan menentang pemain Mesir, Omneya Abdel Kawy yang sebelum itu terpaksa bertarung selama 63 minit untuk menyingkirkan rakan senegara Nour El Tayeb.
Omneya, pemain pilihan ke-11 kejohanan, mencatatkan kemenangan 6-11, 11-8, 6-11, 13-11 dan 11-4.
Nicol menyifatkan lawannnya itu bukan pencabar yang mudah dan beliau perlu menampilkan persembahan mantap esok.
Terdahulu, Wee Wern membuka kempen di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, di sini dengan menumpaskan pemain dari England, Emily Whitlock dengan keputusan 11-6, 11-6 dan 11-4 dalam masa 45 minit.
Dalam pusingan kedua, Wee Wern, selaku pemain pilihan keenam, akan menentang pilihan kesembilan Kasey Brown dari Australia.
Kasey sebelum itu mengetepikan pemain negara Delia Arnold 11-9, 13-11 dan 11-9 dalam saingan selama 50 minit.
"Kali terakhir berjumpa dengan Kasey ialah dalam Kejohanan Terbuka Dunia, Disember tahun lepas, saya berjaya mengatasinya. Saya harap dapat mengekalkan mementum ini esok dan mungkin berjumpa Nicol sekali lagi pada saingan suku akhir nanti," kata Wee Wern.
Sementara itu, dalam kategori lelaki, tiada pemain Malaysia dalam pusingan kedua kelayakan mara ke undian utama.
Wakil negara Ivan Yuen kalah straight set 11-9, 11-9 dan 11-9 di tangan pemain Kuwait, Abdullah Al Muzayen manakala Muhd Asyraf Azan mengalami nasib sama selepas bertarung selama 99 minit.
Muhd Asyraf tunduk kepada pemain Mesir Omar Abdel Aziz dengan keputusan 9-11, 11-4, 9-11, 11-7 dan 11-9.
Dalam undian utama, pemain veteran negara Ong Beng Hee akan menentang rakan senegara Mohd Nafiizwan Adnan pada pusingan pertama esok.
|
|