|
Branislav Ivanovic
PEMAIN pertahanan Chelsea, Branislav Ivanovic menjangkakan perlawanan sengit bakal terjadi ketika menentang pilihan Malaysia, Ahad ini di Stadium Shah Alam.
Pemain kebangsaan Serbia itu menjelaskan, The Blues sentiasa bersedia untuk berdepan dengan mana-mana pasukan, terutamanya dalam program Asia Tour 2013 menentang Thailand, diikuti Malaysia sebelum diakhiri dengan Indonesia.
“Kami jangkakan sesuatu yang berbeza di Malaysia. Namun kami sentiasa bersedia untuk perlawanan tersebut,” katanya dalam temu ramah khas dengan media Malaysia di Bangkok, semalam.
Pemain berusia 29 tahun itu juga menjelaskan bahawa The Blues kini lebih baik sejak kedatangan Jose Mourinho yang kembali menerajui Chelsea.
“Dia seorang pengurus yang berkebolehan. Kami gembira berlatih bersamanya. Keyakinan dan motivasi kami juga kian bertambah,” katanya.
Ketika ditanya adakah Mourinho merupakan pengurus terbaik Chelsea, Ivanovic bagaimanapun menjelaskan setiap pengurus yang pernah bersama The Blues memiliki kebolehan tersendiri.
|
|