|
JURULATIH Selangor, Irfan Bakti Abu Salim yakin anak buahnya akan mengulangi persembahan memberangsangkan ketika berdepan Johor Darul Takzim (JDT) dalam perlawanan terakhir Liga Super di Stadium Larkin, Sabtu ini.
Irfan Bakti berkata, selepas kemenangan 4-1 ke atas T-Team tempoh hari, semangat The Red Giants semakin membara dan mereka sudah bersedia untuk mengecewakan skuad Harimau Selatan di halaman sendiri dalam aksi tersebut.
"Secara kebetulan pula terjumpa JDT pada perlawanan terakhir dan bagi saya ia satu pertemuan yang menarik kerana kedua-dua pasukan berhajat untuk memburu kedudukan naib juara Liga Super termasuk slot beraksi di Piala AFC musim depan.
“Saya juga percaya perlawanan itu nanti pasti ditunggu-tunggu oleh penyokong setia kedua-dua pasukan yang ingin melihat kejayaan pasukan masing-masing.
“Walaupun kami hanya memerlukan keputusan seri untuk muncul naib juara, tetapi Selangor tetap mahukan kemenangan pada aksi terakhir di Liga Super menentang JDT kerana kami mahu menutup tirai saingan dengan bergaya.
“Dan, saya yakin kami mampu untuk meraih tiga mata penuh sekali gus layak beraksi pada Piala AFC jika pemain mengekalkan prestasi yang sama dalam pertemuan sebelum ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online, hari ini.
Pada masa sama, Irfan Bakti tidak mahu mengambil mudah terhadap kemampuan JDT kerana beliau menyedari pasukan itu bagaikan harimau terluka ekoran gagal meraih kejuaraan dalam saingan Piala FA dan sudah tentu menjadikan kedudukan sebagai naib juara Liga Super sebagai peluang menebus maruah mereka.
"Sudah tentu JDT mahu kembali bangkit setelah kecewa dalam Piala FA dan mahukan sekurang-kurangnya tiket bermain di Piala AFC dengan menewaskan kami.
"Biarpun sedar sedikit sukar terutama beraksi di tempat lawan, saya tetap melemparkan keyakinan dengan kemampuan para pemain saya untuk melakar kemenangan tambahan kami berada di prestasi terbaik pada masa sekarang.
"Dan kami juga tidak akan berikan laluan mudah dan bersedia apa sahaja kerana kami tidak rela di pintas oleh JDT pada saingan terakhir liga," katanya yang mahu anak-anak buahnya tampil lebih yakin pada perlawanan tersebut.
Dalam kedudukan liga, Selangor dan JDT kini terikat dengan 39 mata selepas 21 perlawanan tetapi The Red Giants unggul dengan perbezaan 14 jaringan berbanding Harimau Selatan yang sekadar meraih enam jaringan.
• Petikan Berita Online •
|
|
|
|
|
|
|
| |
|