|
PENGENDALI Pahang, Dollah Salleh mahukan pemain mengekalkan corak permainan mereka dan fokus bagi menghadapi Piala Malaysia musim ini selepas melihat kebangkitan pasukan itu.
Kelmarin, Tok Gajah kembali mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Darul Makmur di sini selepas berdepan dua episod kekalahan.
Bekas pemain kebangsaan itu gembira dengan kemenangan tersebut selepas kecewa dengan aksi hambar pasukan itu dalam dua perlawanan saingan Liga Super 2013 sebelum ini.
“Yang paling utama, mereka kena fokus dan buat apa terdaya bagi perlawanan terakhir liga bertemu PKNS FC, Sabtu ini.
“Itu saja peluang untuk memastikan kedudukan pasukan dalam liga tidak terus jatuh,” katanya.
Setakat ini, Pahang masih kekal di kedudukan ke-6 liga dengan mengumpul 32 mata di belakang Kelantan yang berbeza satu mata selepas mengharungi 21 perlawanan dengan berbaki satu perlawanan lagi.
Sementara itu, Pengurus Pahang, Datuk Che Nasir Salleh turut menggesa pemain terus mengekalkan momentum positif untuk menghadapi saingan Piala Malaysia selepas sasaran untuk muncul tiga pasukan terbaik liga gagal dicapai.
Menurutnya, kemenangan kelmarin juga menjadi suntikan moral buat pasukan dan peminat setia yang tanpa jemu memberikan sokongan terhadap pasukan tersebut.
“Buktikan kemampuan mereka (pemain) dan kekalkan fokus kerana misi kita masih jauh lagi.
“Saya berharap pemain terus buktikan kemampuan sebenar mereka jika mahukan kejayaan dalam saingan Piala Malaysia musim ini,” katanya gembira dengan kejayaan membenam ATM di sini, kelmarin.
Sebelum itu, pada pusingan pertama liga, menyaksikan perlawanan membabitkan kedua-dua pasukan berakhir dengan keputusan seri tanpa sebarang jaringan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
• Petikan Berita Online •
|
|