|
Ria pecah dominasi Pahang
Kuala Lumpur : Atlet woodball Wilayah Persekutuan, Ria Natasya Zulkifli, 21, hampir saja memenangi dua pingat emas di SUKMA, ketika dominasi Pahang bagaikan sukar dikekang di Taman Woodball OUG semalam.
Selepas meraih emas beregu wanita di sebelah pagi bersama Rafisah Syafiqah Ridzuan, 16, gandingannya bersama K Kavinessh dalam beregu campuran sekadar meraih perak, ketinggalan hanya satu pukulan berbanding juara, Nur Afiqah Bakri/Muhammad Farouk Amran dari Pahang, 57.
Gangsa milik beregu Pulau Pinang, Nurul Farhana Elias/Muhamad Asyraaf Zulkarnain.
Begitupun dengan dua pingat terkalung di leher Ria Natasya sudah cukup menggambarkan kegembiraan pelajar Universiti Malaya itu. “ Sewaktu acara beregu wanita, perasaan saya gugup tapi selepas meraih pingat pertama, semangat mula meningkat. Saya cuba untuk tidak terlalu yakin dan memberikan yang terbaik, ” katanya.
“ Saya akan cuba mempamerkan aksi terbaik dalam acara individu esok (hari ini). Saya harap dapat terus menyertai acara sukan yang besar seperti ini.” Lebih manis, gandingannya, Rafisah Syafiqah hanya baru lima bulan menyertai sukan itu.
“ Mulanya, saya kurang berminat dengan sukan ini tapi dengan galakan semua, saya berjaya membuktikan keupayaan,” kata pelajar tingkatan empat SMK Jalan 3, Bandar Bangi itu.
“ Yang penting dalam acara ini persefahaman, kedua-dua pemain perlu beraksi dengan baik sejak awal permainan lagi dan itulah yang kami lakukan.” Mereka meraih emas dengan 58 pukulan diikuti beregu Pahang, Erni Merlis Marsil/ Puteri Liyana Farhana Putera Nur Shah Alam, perak (61) manakala gandingan Perlis, Ainaa Izzati Idrus/Nur Ayunni Fauzi gangsa (66).
Bagi acara beregu lelaki, Syed Mohd Nabil Syed Khairuddin/Muhammad Hafizan dari Pahang muncul pemenang emas dengan 55 pukulan, perak milik beregu Terengganu, Mohd Fauzan Mohamad/Muhamad Fazli Hisham Ahmad dan satu lagi beregu Pahang, Muhammad Fazril Amran/Ahmad Saufi Umardi@Kamarol Bahrin, gangsa.
- Harian Metro -
|
|