|
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar (kanan) bersama Naim ketka
melancarkan Jelajah Malaysia 2013.
KEJOHANAN Lumba Basikal Jelajah 1Malaysia tetap mencabar meskipun perlumbaan edisi ke-50 bermula 26 Jun hingga 30 Jun ini hanya membabitkan lima peringkat dengan 13 zon pecut berbanding tahun sebelumnya.
Perlumbaan sejauh 856.1 km ini yang akan menjelajah ke selatan Semenanjung tanah air bermula di Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil menghala ke Negeri Sembilan, Johor, Melaka dan berakhir di Putrajaya.
Ketua Pegawai Operasi, Jelajah Malaysia, Datuk Naim Mohamad berkata, perlumbaan kali ini dipendekkan ke lima peringkat atas faktor kewangan.
“Kita telah memulakan kerja lebih awal dan beberapa perbelanjaan membabitkan enam peringkat sudah dikeluarkan.
“Tetapi apabila kejohanan ini terpaksa ditangguhkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-13, Mei lalu, beberapa perkara perlu diteliti dan kita bersetuju menganjurkan dengan lima peringkat berdasarkan jumlah perbelanjaan yang ada,” katanya selepas Majlis Pelancaran Kejohanan Lumba Basikal Jelajah 1Malaysia, di Putrajaya, semalam.
Penangguhan tersebut bagaimanapun memberi impak positif, dan berjaya menarik lebih ramai penyertaan. Kejohanan kali ini juga menjanjikan perlumbaan lebih mencabar dan menarik membabitkan 13 zon pecut dan lima zon pendakian.
Selain itu seramai 20 pasukan sudah mengesahkan penyertaan antaranya Terengganu Cycling Team, Drapac Cycling dari Australia, pasukan dari Singapura, Jepun, Iran, Brunei, Azerbaijan, Filipina, Uzbekistan, pasukan kebangsaan Hong Kong dan Indonesia.
Turut bertanding adalah tiga pasukan negeri (Negeri sembilan, Kuala Lumpur dan Terengganu), MSN Negeri, kelab ATM dan PDRM.
Sementara itu, mengulas mengenai kemalangan membabitkan pelumba pelapis di Terengganu, Naim berkata, faktor keselamatan tetap menjadi keutamaan sepanjang kejohanan Jelajah 1Malaysia berlangsung.
“Kecekapan pihak Polis Diraja Malaysia bertindak mengawal lalu lintas tidak perlu diragukan dan tahap keselamatan amat diutamakan,” katanya dan memberitahu sepanjang penganjuran kejohanan tiada lagi kemalangan serius pernah berlaku.
|
|