CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 5656|Reply: 0

JO IN SUNG MENGAMIT HATI PEMINAT DI SINGAPURA

[Copy link]
Post time 25-9-2013 11:53 AM | Show all posts |Read mode

22 May 2013 –  Memiliki ketinggian 187 cm, rupa paras yang menarik, berkarisma, senyuman yang memikat dan gemar berjenaka itulah Jo In Sung pelakon berbakat yang berasal dari Korea pertama kali menjejakkan kaki ke Singapura mengadakan jelajah promosi drama That Winter, The Wind Blows (“TWTWB”) di Singapura dan Malaysia.

Drama yang mendapat tempat dikalangan peminat melodrama Korea khususnya kini diulang tayang setiap Sabtu dan Ahad jam 3.15 pm di saluran ONE (SingTel mio TV Saluran 513, 604 / StarHub TV Saluran 823, 876, 124) di Singapura. CARI Malaysia berbesar hati menerima undangan daripada pihak penganjur Sony Pictures Television Netwoks, Asia (saluran ONE) ke sidang media Jo In Sung yang berlangsung di Pan Pacific Hotel Singapura.


Ikuti wawancara beliau bersama pihak Media.

M:  Apa yang membuatkan anda memilih untuk berlakon dalam drama TWTWB?

JIS: Tidak ada sebab tertentu mengapa saya memilih untuk berlakon di dalam drama tersebut.  Pemilihan sesebuah drama adalah berdasarkan kepada penulis skrip terbaik, pengarah terbaik, pelakon wanita yang menarik dan juga pelakon sampingan yang lain.

M:  Semasa anda mengadakan sesi jelajah promosi drama TWTWB di Kuala Lumpur anda menyatakan bahawa jika hanya 30 orang peminat hadir ke acara terbuka meet & greet anda sudah berpuas hati.  Akan tetapi jumlah peminat yang hadir adalah di luar jangkaan.  Apakah perasaan anda ketika itu? (Untuk rekod peminat yang hadir dianggarkan sebanyak 5,000 orang)

JIS:  Saya merasa sangat terkejut dan tidak menyangka ramai peminat membanjiri mall tersebut.  Ini adalah satu hadiah yang tidak ternilai buat diri saya.  Saya amat berterima kasih kepada peminat yang hadir pada hari tersebut.

M:  Pelakon sampingan drama TWTWB Eunji menyatakan yang Kim Bum adalah lebih manlier dari Zo In Sung.  Apa pendapat anda mengenai hal tersebut?

JIS:  Ya, ianya benar.


M:  Adakah anda berpuas hati dengan prestasi lakonan anda dalam drama TWTWB?  Dari skala 1 – 10 bagaimana anda menilai tahap lakonan anda dalam drama tersebut?

JIS:  Melihat kepada lakonan saya dalam drama tersebut merasakan saya boleh melakonkan watak tersebut dengan lebih baik.  Saya memberikan diri saya 7.5 buat lakonan saya.

M:  Adegan cotton kiss di dalam drama TWTWB menjadi bualan ramai bukan sahaja di Korea malahan di seluruh dunia.  Adakah anda menjangkakan ianya akan menjadi popular?

JIS:  Tidak sama sekali.  Semasa penggambaran adegan tersebut pelakon wanita utama Song Hye Kyo merasa amat malu dan berkata mengapa kita perlu melakonkan adegan sedemikian?  Adegan tersebut adalah idea dari pengarah drama tersebut.

M: Apakah perasaan sedih Oh Soo (watak dalam drama tersebut) yang sukar untuk beliau dilupakan?

J:  Watak Oh Soo adalah satu watak yang sangat sukar dan penuh perasaan.  Pada permulaan drama ianya penuh dengan adegan menyedihkan.  Setiap kali saya mendalami watak Oh Soo saya merasa sangat sukar untuk menjiwainya.  Melalui Youngie, Oh Soo mula mengenali apa erti kasih sayang.  Ianya adalah watak yang paling sukar buat saya untuk melakonkannya.  

M:  Apakah drama/filem paling mencabar buat diri anda?

JIS:  Filem Frozen Flower adalah yang paling sukar buat diri saya.

M:  Bolehkah anda gambarkan diri anda dalam 3 perkataan?

JIS:  Jo In Sung!

M: Anda sangat rapat dengan salah seorang pelakon Gong Yoo.  Adakah anda mempunyai rancangan untuk melibatkan diri dalam projek bersama beliau?

JIS:  Ianya merupakan peluang yang sangat baik untuk bekerjasama dengan beliau.  Sudah agak lama saya tidak bertemu beliau dan saya berbesar hati jika saya dapat berjumpa beliau kembali dalam apa jua projek kelak.

M: Sila lengkapkan ayat berikut ~ saya merasa amat gembira apabila…?

JIS: Bermain video game di rumah juga berkongsi minuman soju bersama teman rapat dan berada di set penggambaran.

M:  Saya merupakan salah seorang peminat sitcom Non-Stop dan anda pernah digandingkan bersama gag woman (pelawak wanita) Park Kyung Lim.  Adakah anda gemar berlakon di samping gag woman atau pelakon wanita yang cantik seperti Song Hye Kyo? (soalan ini menjurus kepada adegan ciuman bersama pelakon wanita utama)

JIS:  Ianya tidak penting jika wanita tersebut adalah seorang pelawak atau pelakon, kerana itu hanyalah watak yang perlu dilakonkan di dalam sesebuah sitcom/drama.  Akan tetapi saya merasa kurang beban ketika melakukan adegan ciuman bersama Park Kyung Lim berbanding dengan pelakon wanita yang lain.

M:  Adakah anda berhasrat berlakon sitcom pada masa akan datang?

JIS:  Ya, jika di beri peluang saya ingin kembali ke sitcom dan melakukan yang terbaik.  Pada ketika ini di Korea banyak sitcom yang hampir dilupakan.  Saya berharap sitcom berupaya memberi kegembiraan kepada penonton yang melalui masa yang sukar.  

M:  Fesyen wanita yang bagaimanakah menarik minat anda?

JIS:  Saya gemar melihat wanita yang menarik dalam pemakaian seluar jeans.

M: Anda pernah menyatakan bahawa anda mempunyai personaliti yang agak sama dengan watak Oh Soo.  Apakah persamaan personaliti tersebut?

JIS:  Apa yang anda lihat pada diri saya sekarang adalah sama seperti watak Oh Soo.  Ianya sama kerana watak Oh Soo dan saya berkongsi pertalian yang sama.  Tetapi perbezaan yang paling nyata ialah saya tidak menipu orang.

M:  Siapakah yang memberi anda inspirasi untuk menjadi seorang pelakon?

JIS:  Idola saya adalah pelakon Jung Woo Sung.  Saya amat meminati beliau.

M:  Kebanyakkan pelakon kini menyumbang suara untuk runut bunyi dalam sesebuah filem/drama.  Adakah anda berminat melakukannya?

JIS:  Saya meminati muzik akan tetapi apabila saya menyanyi dikhuatiri peminat akan melarikan diri dari saya.  


M:  Di babak akhir drama TWTWB ramai peminat keliru dengan kesudahan drama tersebut.  Adakah Oh Soo meninggal dunia atau sebaliknya?

JIS:  Saya seringkali menerima soalan yang sama dari pihak media terutama di Korea.  Oh Soo masih hidup dan bahagia bersama Youngie selama-lamanya.

M:  Di dalam drama TWTWB anda adalah seorang chef.  Adakah anda gemar memasak?

JIS:  Ya, saya amat bagus dalam memasak.  Saya gemar memasak pasta.

M:  Apa yang anda akan lakukan jika anda boleh mengubah satu perkara dalam industri hiburan Korea?

JIS:  Tidak ada perkara khusus yang saya ingin ubah akan tetapi saya berharap pelakon-pelakon sampingan agar lebih menghormati sesame sendiri dan mengambil berat antara satu sama lain.

M:  Ketika penggambaran TWTWB anda banyak memberi tunjuk ajar kepada pelakon sampingan Eunji.  Apakah nasihat anda kepada beliau?

JIS:  Eunji adalah pelakon yang baik jadi saya tidak ada memberi beliau kata-kata nasihat.  Saya percaya kepada kemampuan lakonan beliau.  Saya hanya mampu menyokong beliau untuk menjadi lebih baik di masa akan datang.

M:  Siapakah yang anda ingin berganding dalam drama/filem selanjutnya?

JIS:  Saya telah bekerjasama dengan ramai pelakon wanita yang popular seperti Song Ye Jin, Shin Min Ah, Song Ji Hyo dan ramai lagi.  Saya berbesar hati kerana berpeluang berlakon dengan pelakon-pelakon wanita yang popular dan berbakat.  Akan tetapi pada masa akan datang tanpa mengira mana-mana pelakon wanita sekali pun saya berbesar hati jika dapat digandingkan dengan mereka.  Memandangkan saya adalah pelakon senior, saya ingin bertemu dengan pelakon-pelakon baru dan memberi tunjuk ajar dan berkongsi pengalaman kepada mereka untuk menjadi pelakon yang baik.

M:  Apakah babak yang paling sukar dilupakan ketika penggambaran drama TWTWB?

JIS:  Terdapat babak Youngie yang dibuli dan Oh Soo menyelamatkan beliau daripada situasi tersebut.  Itu adalah babak yang paling sukar untuk dilupakan.  Saya merasakan diri saya umpama Superman ketika itu.


M:  Anda kelihatan sangat tenang dan tenteram.  Apakah perkara atau perbuatan luar jangkaan yang telah anda lakukan atau mahu lakukan?

JIS:  Buat masa ini tiada perkara tertentu yang terlintas di fikiran saya.  Saya hanya ingin keremajaan dalam diri saya berpanjangan.

M:  Anda sering melakonkan adegan sedih di dalam sesebuah drama.  Bagaimanakah anda menjiwai watak tersebut?

JIS:  Ianya sangat sukar.  Menangis adalah perkara yang paling sukar.  Apabila saya menangis berulang kali saya merasa sangat penat.  Di dalam sesebuah babak saya perlu menangis sebanyak 5-6 kali berulang kali.  Tetapi apabila saya memfokuskan diri kepada pelakon utama wanita Song Hye Kyo, ia amat mudah untuk mempamerkan emosi sedih.  Song Hye Kyo berupaya membuatkan seseorang untuk mengalirkan air mata.  Beliau adalah seorang pelakon air mata terbaik di Korea.  Saya berterima kasih kepada Song Hye Kyo yang berupaya menyentuh hati seseorang dengan lakonan hebat beliau.

M:  Apakah babak yang paling mencabar ketika penggambaran drama TWTWB?

JIS:  Persediaan pada episod terakhir ketika melakonkan babak ciuman dan tangisan adalah sangat sukar buat diri saya dan juga Song Hye Kyo.  Ia sangat mencabar bagi kami untuk mempamerkan emosi kami ketika itu.

M:  Bilakah Oh Soo mula jatuh cinta terhadap Youngie?

JIS:  Terdapat satu babak di stesen keretapi di mana Oh Soo bercerita (narration) yang beliau mula jatuh cinta terhadap Youngie.  Melalui Youngie, Oh Soo berupaya melihat dirinya yang sebenar.

M:  Sejauh manakah anda menyayangi peminat anda? *soalan dari wakil CARI Malaysia

JIS:  Saya menyayangi peminat dengan sepenuh hati saya.  

M:  Sebelum anda memegang watak Oh Soo adakah mengimpikan watak sedemikian?  

JIS:  Terdapat sebuah drama hebat berjudul Hourglass yang berlatarbelakangkan sejarah Korea.  Tidak hanya tertumpu kepada kisah hubungan cinta antara lelaki dan wanita ianya terdapat banyak perkara yang membolehkan peminat menikmati sejarah Korea melalui drama tersebut.  Saya berminat untuk melibatkan diri dalam penggambaran berkisar sejarah dan ia adalah pengalaman yang menyeronokkan.



Sejurus selepas sidang media berakhir pihak media bergegas ke Suntec City Mall bagi acara terbuka meet & greet Jo In Sung bersama peminat.  Hampir 4,000 orang peminat Jo In Sung membanjiri mall tersebut.  Peluang melihat pelakon tersohor secara dekat tidak harus dipersiakan.

Sebelum kemunculan Jo In Sung, pengacara Pei Fen (DJ radio 93.3FM) telah memilih 6 pasangan di mana mereka harus melakonkan semula adegan romantis cotton candy kiss.  3 pasangan terbaik akan diadili oleh Jo In Sung sendiri.

Pemenang berpeluang merakamkan gambar polaroid bersama Jo In Sung.  Di samping itu pelanggan bertuah saluran ONE yang terpilih juga berpeluang merakamkan gambar polaroid bersama beliau.  Jo In Sung tidak menghampakan permintaan peminat beliau apabila beliau secara sporting berdakapan mesra dan peminat melakukan aksi seperti Song Hye Kyo (umpama poster TWTWB) bersama beliau.  Sesungguhnya ini antara fan service yang hebat daripada pelakon tersebut!   

Jo In Sung amat menghargai peminat beliau yang hadir pada hari tersebut dan beliau berjanji akan kembali ke Singapura lagi.  Segak bergaya santai mengenakan pakaian kot berwarna putih dan bersandal, Jo In Sung merakamkan gambar kenang-kenangan berlatarbelakangkan peminat beliau.  

Acara akhir itu bakal menguntum senyuman di setiap bibir peminat dan merupakan kenangan manis yang tidak ternilai.

Dedikasi dan komitmen Jo In Sung terhadap sesebuah drama/filem yang dilakonkan oleh beliau ternyata membuahkan hasil.  Kini beliau boleh berdiri setanding dengan pelakon-pelakon hebat dan berbakat yang lain.  Semoga Jo In Sung akan terus berjaya dan dapat memberikan terbaik pada masa akan datang buat peminat beliau.

Setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak penganjur Sony Pictures Television Netwoks, Asia (saluran ONE) yang telah mengundang CARI Malaysia ke sidang media dan acara terbuka meet & greet bersama Jo In Sung.

Artikel oleh:  Nurul @ se7enstarz
Editor oleh:  Isabel
Gambar disediakan oleh : OneHD Asia


Last edited by isabel on 25-9-2013 11:53 AM

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

26-11-2024 02:58 PM GMT+8 , Processed in 0.049243 second(s), 12 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list