|
GADIS yang mempunyai senyuman menawan ini mula muncul sebagai model ketika berusia 11 tahun dalam arena seni Hollywood.
Dia kemudiannya, dilamar beberapa pengarah untuk muncul dalam drama bersiri arahan mereka ketika usianya mencecah 15 tahun.
Menariknya, demi memantapkan kariernya dalam bidang seni, dia turut mengikuti kelas vokal dan opera bagi memantapkan lagi profilnya.
Bahkan, untuk membuktikan kesungguhannya juga, dia sanggup mengurangkan penglibatan dalam bidang modeling dan fokus kepada lakonan sahaja.
Tanpa menunggu lama, dia akhirnya diberi peluang tampil dalam beberapa siri popular Hollywood seperti Guiding Light dan World Turns.
Dalam pada itu, diam-diam aktres berusia 27 tahun ini diintai pengarah tersohor Mark Waters untuk berlakon dalam filem yang mengangkat genre komedi, Mean Girls bergandingan bersama aktres Lindsay Lohan.
Memainkan watak sebagai Karen Smith, pada awalnya dia dipilih untuk menjadi Cady Heron iaitu teraju utama yang digalas Lohan.
Pun begitu, ketika menjalani uji bakat, empunya nama Amanda Michelle Seyfried atau nama layarnya, Amanda Seyfried ini diamanahkan untuk menjadi Smith iaitu seorang rakan yang dikategorikan sebagai 'talam dua muka'.
Menariknya, kerana kejayaannya dan pelakon lain, filem ini mendapat sambutan hangat dan tersenarai antara filem yang mendapat kutipan tertinggi atau 'box-office'.
Selain itu, kesan pembawaan wataknya sebagai Smith, dia turut dicalonkan bagi beberapa anugerah seperti Best On-Screen Team.
Pelakon versatil
Meskipun namanya segah Lindsay Lohan, Hillary Duff dan Ellen Page, tetapi Seyfried wajar diberi lebih pujian kerana popular kerana bakat bukannya kontroversi semata.
Dek kerana itu, ada sahaja buah tangan terbarunya dari tahun ke tahun.
Terus mencipta nama dalam industri perfileman, Seyfried juga amat terkenal melakonkan pelbagai genre filem.
Walaupun percubaan pertamanya Mean Girls bergenre komedi namun filem lain lakonannya seperti Nine Lives, Jennifer’s Body, Red Riding Hood dan Les Misérables meletakkan dia antara aktres yang versatil.
Bahkan rentetan kejayaannya sebagai Sophie Hall dalam filem Letters To Juliet membuatkan dia terus melekat di hati peminat filem sehingga ke hari ini.
Menerusi filem bergenre romantik itu, Seyfried turut menerima pujian daripada pengkritik seni Hollywood.
Kata mereka, lakonan yang bersahaja membuatkan wataknya tampak hidup dan bukan dibuat-buat.
Selain itu, antara filem yang melonjakkan nama penerima anugerah Teen Choice Awards bagi kategori Choice Movie Actress: Romantic Comedy ini seperti Gone, In Time dan The End of Love.
Filem animasi pertama
Baru sahaja muncul sebagai Cosette menerusi filem 'box-office' Les Miserables tahun lalu, Seyfried terus menjadi buruan pengarah bagi karya terbaru mereka.
Kali ini, bintang filem Lovelace ini bakal muncul dengan filem animasi terbaru berjudul Epic.
Filem animasi sentuhan pengarah Chris Wedge ini memerlukan pelakon yang pernah disenaraikan Hollywood’s Hottest Young Stars ini menggunakan suaranya menjadi Mary Katherine iaitu anak perempuan Profesor Bomba
yang berusia 17 tahun.
Menarik mengenai penglibatannya dalam filem ini, ia merupakan filem animasi pertama bagi Seyfried.
Sedikit pengalamannya sebagai Katherine, biarpun hanya menggunakan suara, tetapi ia lebih sukar dan mencabar kerana dia perlu benar-benar menghayati watak itu.
"Biasanya orang akan lihat perlakuan kita dan dengan mudah mereka dapat merasainya, sebaliknya, watak ini animasi, tanpa dialog yang berkesan, ia akan kelihatan keras," katanya mengenai filem yang turut menggunakan suara Colin Farrell, Beyoncé Knowles, Chris O’Dowd, Pitbull dan Steven Tyler ini.
Sementara itu, filem yang mengangkat genre animasi, pengembaraan, komedi dan fantasi ini, bakal ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula 23 Mei ini.
|
|