Saya gadis berumur 21 tahun yang masih belajar di sebuah kolej swasta. Dulu saya mempunyai teman lelaki tapi dia selalu meminta saya melakukan perkara tidak senonoh dan menganggapnya perkara biasa.Saya tidak pernah mengizinkan perbuatan itu dan enggan menunaikan permintaan menyebabkan teman lelaki marah. Akhirnya, saya bertekad memutuskan perhubungan kerana tidak tahan dengan perangainya itu.
Sejak itu, saya juga sukar untuk jatuh cinta lagi biarpun mempunyai ramai kawan lelaki berbanding perempuan kerana rimas dengan sikap perempuan yang suka mengumpat.
Pada saya, rakan lelaki lebih terbuka, tenang, pendengar yang baik dan matang dari pelbagai segi. Malangnya, tanggapan saya itu jauh tersasar kerana mereka (rakan lelaki) juga ada yang bersifat miang selain suka melihat video lucah.
Apakah semua lelaki suka menyimpan video lucah walaupun luaran mereka nampak baik. Sikap baik mereka membuatkan saya berasa selamat tapi sikap miang mereka membuatkan saya curiga.
Sikap bekas teman lelaki selain beberapa kawan rakan lelaki lain membuatkan saya fobia bercinta apa lagi berkahwin.
Saya juga melihat kawan lelaki yang mengambil kursus syariah tapi berpegang tangan dengan kekasihnya dan pelajar perempuan yang memakai purdah bertepuk tampar dengan lelaki bukan muhrim.
Macam mana saya nak percaya pada lelaki, adakah semua lelaki macam itu?
GADIS FOBIA,
Perak
Lelaki yang baik menghormati wanita. Begitu juga cinta dan hormat perlu seiring. Bekas teman lelaki ternyata tidak cukup mencintai adik kerana perbuatannya tidak menghormati maruah adik.
Memegang tubuh atau apa saja bahagian badan teman wanita bukan satu ciri kasih sayang tapi lebih berorientasikan nafsu dan syahwat.
Ia bukan satu perbuatan biasa lelaki terhadap wanita. Kata-kata bekas teman lelaki bahawa berbuat begitu adalah satu perbuatan biasa hanyalah satu alasan untuk meneruskan perbuatan berpaksi nafsu.
Adik mengambil keputusan bijak untuk memutuskan hubungan kerana tidak menjumpai cinta apabila tidak mendapat penghormatan daripada lelaki yang sepatutnya menjadi pelindung.
Adik juga bijak dengan menghormati diri sendiri dan enggan membenarkan diri menjadi sentuhan dan mainan lelaki.
Confucious menjelaskan, hormati diri sendiri dan orang lain akan menghormati anda. Dostoevsky juga mengatakan, jika anda ingin dihormati orang lain, perkara paling hebat ialah menghormati diri sendiri.
Penghormatan diperoleh melalui tingkah laku dan perbuatan biadap lelaki kepada tubuh wanita perlu dijauhi.
Sesuatu tingkah laku seperti menyimpan video lucah boleh diamalkan sesiapa saja tanpa mengira jantina, bukan perbuatan lelaki semata-mata.
Dr memahami pengulangan kawan lelaki yang ramai menyimpan video lucah dalam telefon membuatkan adik fobia untuk bercinta apatah lagi berkahwin.
Namun, jika perbuatan ini bukan milik semua kaum lelaki, akan ada lelaki yang tidak menyimpan video lucah dalam telefon mereka.
Cinta juga diwarnai oleh banyak sifat lain. Apabila adik menjumpai sifat-sifat yang boleh mewarnai cinta adik, tiba masa adik merasai bahawa cinta itu satu keindahan. Menemui lelaki yang dicintai berserta dengan ciri-ciri yang ingin dimiliki dalam diri lelaki adalah petanda subur kepada jalan kepada sesuatu perkahwinan.
Bidang syariah adalah salah satu bidang pengajian Islam. Perbuatan kawan lelaki yang walaupun mengambil kursus syariah tapi masih lagi berpegang tangan dengan kekasihnya adalah satu perbuatan peribadinya. Ia tidak melambangkan tingkah laku semua pelajar pengajian syariah.
Begitu juga dengan tingkah laku pelajar perempuan yang memakai purdah tapi bertepuk tampar dengan lelaki bukan muhrim.
Menutup aurat adalah satu kewajipan dalam agama Islam dan perbuatan bertepuk tangan dengan lelaki bukan muhrim adalah salah di sisi agama.
Perbuatan itu adalah perbuatan peribadinya dan bukan perbuatan milik semua wanita yang berpurdah.
|