|
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan memutuskan walaupun Karpal Singh seorang Ahli Parlimen dan peguam kanan terkenal berhak membuat ulasan politik dan memberi pandangan mengenai perlembagaan dan undang-undang, hak serta kebebasan bersuara yang dijamin Perlembagaan Persekutuan itu tidak mutlak.\rHakim Datuk Ahmad Ma’arop dalam penghakimannya 105 muka surat, berkata kebebasan bersuara yang dijamin itu bererti seseorang berhak bercakap, menulis atau menerbitkan apa yang disukainya asalkan tidak melanggar undang-undang.\r\n\n\n\n\r Oleh itu, katanya, apa yang dinyatakan Karpal pada satu sidang media pada 2009 mengenai Sultan Perak, Sultan Azlan Shah berhubung krisis politik di negeri itu melepasi garis yang memisahkan pernyataan perkataan yang dibenarkan undang-undang dengan pernyataan menghasut.\r\r\n\n\n\n\n Hakim Ahmad juga berkata, pendakwaan hanya perlu membuktikan perkataan yang dinyatakan Karpal mempunyai kecenderungan menghasut.\rKatanya, pendakwaan tidak perlu membuktikan bahawa perkataan itu menyebabkan keganasan sebenar atau reaksi adverse sebenar.\rHakim Ahmad berkata, sama ada kenyataan Karpal benar atau tidak, adalah tidak material.\r“Dalam mempertimbangkan persoalan sama ada perkataan responden (Karpal) itu menghasut atau tidak, pandangan saksi yang mendengar perkataan berkenaan bukan penentunya dan sebenarnya adalah tidak relevan. \r\n\n\n\r“Mahkamahlah yang mesti memutuskan sama ada perkataan responden itu menghasut atau tidak,” katanya.\rPada 20 Januari lalu, Hakim Ahmad yang mempengerusikan panel tiga hakim memerintahkan Karpal membela diri terhadap tuduhan membuat kenyataan berbaur hasutan terhadap Sultan Perak Sultan Azlan Shah pada sidang media pada 2009.\rPanel berkenaan yang turut dianggotai dua Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Clement Allan Skinner dan Datuk Seri Mohamed Apandi Ali mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 11 Jun 2010 yang melepas dan membebaskan Karpal daripada tuduhan itu tanpa memerintahkannya membela diri.\rKarpal dituduh mengeluarkan perkataan berbaur hasutan terhadap Sultan Perak di firma guamannya di Jalan Pudu Lama di sini antara 12 tengah hari dan 12.30 tengah hari pada 6 Februari 2009.\rBeliau didakwa mengeluarkan kenyataan bahawa pengguguran Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar oleh Sultan Perak boleh dipersoalkan di mahkamah.\rPertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.\rMahkamah Rayuan pada 20 Januari lalu, menetapkan hari ini untuk sebutan kes Karpal di Mahkamah Tinggi.\rDalam penghakimannya itu, hakim Ahmad berkata, perkataan yang dinyatakan Karpal mempunyai kecenderungan bagi mempersoalkan kuasa prerogatif Sultan Perak yang dilindungi mengikut Perkara 181(1) Perlembagaan Persekutuan.\rHakim Ahmad berkata, tiada keraguan di fikiran panel itu bahawa sidang media itu dibuat dengan niat atau sekurang-kurangnya dengan harapan supaya apa yang dinyatakan dalam sidang akhbar berkenaan akan disiarkan.\rDalam sidang media itu, beliau berkata, Karpal berulang kali menyatakan perkataan yang jelas membawa pengertian bahawa Sultan Perak melanggar undang-undang, tidak mengikut undang-undang atau tidak menghormati undang-undang. – BERNAMA
[Source] [Go Back to Citizen Journalist] [Pump!]
|
|