HANYA selepas enam hari mengumumkan rekod jualan terbaiknya, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) tampil dengan barisan produk baharu untuk satu tujuan iaitu memacu pertumbuhan prestasi jualan bagi mengatasi rekod yang baru sahaja dicapai. Agresif? Mungkin itu strategi MBM untuk tahun 2012.
Di Malaysia, MBM sudah menjual sebanyak 5,431 unit kenderaan penumpang pada tahun lalu. Jumlah itu sudah memintas rekod 2010 iaitu sebanyak 5,003 unit. Pencapaian tersebut dikatakan mengukuhkan lagi kedudukan pengeluar kenderaan Jerman itu sebagai peneraju dalam segmen kenderaan penumpang premium di Malaysia.
Kali ini, tiga kenderaan diimport sepenuhnya (CBU) ditawarkan dalam pasaran tempatan. Apa lagi kalau bukan model C-Class Coupe, SLK dan CLS. Rasional di sebalik pengenalan model-model berkenaan dikaitkan dengan peningkatan minat terhadap kenderaan mewah dan sentimen positif dalam kalangan pengguna Malaysia.
“Dengan penambahan pilihan model Mercedes-Benz untuk menepati kesesuaian gaya hidup pelanggan, kami optimis ia akan menyumbang kepada peningkatan jumlah jualan kenderaan di antara 10 hingga 15 peratus tahun ini,” kata Naib Presiden Jualan dan Pemasaran MBM, Kai Schlickum pada majlis pelancaran tiga model berkenaan di Subang Jaya, Selangor.
Melengkapi portfolio C-Class
Taklimat media pada majlis pelancaran bermula dengan model C-Class Coupe. Pengurus Produk MBM, Michael Chew menyatakan dengan adanya model coupe, ia melengkapkan portfolio C-Class di negara ini. Sebelum ini, hanya ada dua ahli keluarga C-Class iaitu Estate (station wagon) dan sedan.
[size=9.16667px]ANDA boleh duduk di dalam kabin SLK ini jika sanggup membayar harganya yang cukup premium.