
Gambar-gambar semasa operasi SAR mangsa.-Gambar IPD Kota Samarahan
SADONG JAYA: Lelaki yang hilang selepas dipercayai disambar buaya berhampiran Pengkalan Feri Lama di Sungai Buluh dikatakan kali terakhir dilihat berada di dalam mulut buaya kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Superintenden Damataries Lautin berkata kejadian berlaku kira-kira jam 10.30 pagi sebelum pihaknya menerima makluman pada jam 11 pagi berhubung laporan yang dibuat di Balai Polis Asajaya.
Menurutnya, mangsa turun ke sungai bersama seorang rakan untuk menjala udang sebelum disambar reptilia berkenaan.
“Berdasarkan maklumat saksi, mangsa dilihat di dalam mulut buaya dan dipercayai dibawa ke arah kawasan Sabuyau.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah diaktifkan dengan kerjasama agensi sahabat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Operasi berkenaan melibatkan anggota polis dari Balai Polis Asajaya, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Mangsa dikenali sebagai Mohd Faizal Abdillah berusia 30 tahun.
Sehingga kini, mangsa masih belum ditemui dan operasi SAR diteruskan.
Sumber : Utusan Borneo
|