
GIMIK: Arifin bersama jawatankuasa dan tetamu jemputan melakukan simbolik perasmian pelancaran Pesta Tanglung Peringkat Dun Membakut di Dewan Terbuka Pekan Membakut.
MEMBAKUT: Kerajaan Negeri bakal mengadakan Istiqbal Nuzul Al-Quran Peringkat Negeri Sabah pada 17 Ramadan ini dalam usaha menyemarakkan bulan Ramadan, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP), Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.
Mengulas lanjut, Arifin yang juga Exco Agama berkata bersempena itu, pihaknya akan mengundang Imam Besar Masjid Imam Hussin dari Mesir untuk menjalankan program yang dirancang selama 10 hari di Sabah.
"Sebagai seorang Qari terkenal, beliau akan membuat jelajah ke beberapa daerah dan sekolah untuk memperdengarkan bacaan Al-Quran, tazkirah termasuk program bimbingan Al-Quran kepada anak-anak kita.

SAMPAIKAN: Arifin menyampaikan sumbangan kepada masyarakat Cina sempena pelancaran Pesta Tanglung Peringkat Dun Membakut yang diadakan di Dewan Terbuka Pekan Membakut.
"Program bersama Imam Besar Masjid Imam Hussin ini akan turut diadakan di Masjid Negeri Sabah dan Dewan Saadah MUIS yang akan kita umumkan dalam masa terdekat, inshaAllah," katanya selepas program 'Walkabout' sempena Tahun Baharu Cina dan Pelancaran Pesta Tanglung Peringkat Dun Membakut, dekat sini.
Dalam perkembangan berkaitan, Arifin turut meminta agar Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) supaya memastikan aspek kebersihan di setiap Bazar Ramadan selain memastikan semua PBT mengambil langkah proaktif dengan memberi pendedahan kepada para peniaga mengenai aspek terbabit.
Selain kepentingan menjaga kebersihan demi memastikan keselamatan makanan terjamin, Arifin berkata para peniaga bazar juga perlu mematuhi peraturan PBT masing-masing.

UCAPAN: Arifin menyampaikan ucapan ringkas bagi merasmikan Pesta Tanglung Peringkat Dun Membakut di Dewan Terbuka Pekan Membakut.
"Sebaik saja saya diamanahkan sebagai Menteri KKTP, saya meminta agar semua PBT memberi tumpuan kepada dua perkara iaitu, kebersihan dan keindahan pekan masing-masing. Selain meningkatkan mutu juadah, para peniaga juga perlu pastikan tahap kebersihan sentiasa berada pada kadar terbaik demi keselamatan pengguna," katanya.
Sementara itu, Arifin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut memberitahu, kira-kira 200 peniaga bazar Ramadan di bawah kelolaan PBT Daerah Membakut akan menerima bantuan awal perniagaan.
Jelasnya, bantuan di bawah peruntukan ADUN Membakut yang dilaksanakan setiap tahun sejak empat tahun lalu itu bertujuan meringankan beban peniaga-peniaga kecil di kawasan ini sempena Ramadan.

ALBUM: Arifin merakamkan gambar kenangan bersama jawatankuasa dan tetamu jemputan sejurus merasmikan pelancaran Pesta Tanglung Peringkat Dun Membakut di Dewan Terbuka Pekan Membakut.
"Selain peniaga Bazar Ramadan di Dewan Terbuka Pekan Membakut ini, peniaga kecil yang beroperasi di kampung, di hadapan rumah dan di tepi jalan juga akan menerima bantuan ini.
"Saya sendiri akan bertemu dengan para peniaga sebelum mereka memulakan perniagaan, manakala PBT akan guna kesempatan ini beri taklimat serta kempen kesedaran berhubung keperluan menjaga kebersihan dan mematuhi peraturan," katanya.
|