CariDotMy

 Forgot password?
 Register
CARI sedang mencari rakan kongsi yang berkongsi matlamat sama untuk meneroka lebih banyak peluang bersama. Untuk maklumat lanjut: Klik sini
View: 25153|Reply: 0

[Sarawak] Kerajaan Sarawak kekal pertahan undang-undang O&G negeri

[Copy link]
Post time 15-2-2026 01:26 PM | Show all posts |Read mode


Ibrahim (kiri) menandatangani kad sempena Tahun Baharu Cina untuk diedarkan bersama kalendar kepada para peniaga di kawasan DUN Satok, pagi tadi.

KUCHING: Kerajaan Sarawak kekal mempertahankan undang-undang industri minyak dan gas (O&G) negeri sambil meneruskan rundingan penyelesaian komersial antara Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) dan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS).

Demikian menurut Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Sarawak Dato Ibrahim Baki sambil menambah, rundingan masih berjalan membabitkan Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan bagi mencari formula terbaik.

Menurut beliau yang turut menjaga Sarawak Energy Berhad (SEB) dan PETROS, meskipun terdapat prosiding mahkamah yang sedang berlangsung, namun usaha mencapai penyelesaian secara komersial tetap menjadi keutamaan.

“Perbincangan mengenai minyak dan gas masih diteruskan. Saya yakin akan ada satu formula yang dapat dipersetujui.

“Harapan kita adalah untuk mencapai penyelesaian komersial antara PETROS dan PETRONAS, melibatkan kerajaan negeri dan Persekutuan,” katanya ketika ditemui semasa menyerahkan sumbangan Tahun Baharu Cina (TBC) bagi DUN Satok di sini, pagi tadi.

Ibrahim menegaskan, tindakan membawa perkara itu ke mahkamah adalah hak masing-masing untuk mendapatkan kepastian dan tafsiran undang-undang.

“Mahkamah adalah saluran untuk mendapatkan penjelasan. Jika ada pihak memohon perisytiharan atau tafsiran, itu hak masing-masing. Pada masa sama, kita juga mahu kepastian,” ujarnya.

Namun begitu, beliau menekankan bahawa pendirian Sarawak tetap jelas, iaitu untuk mempertahan dan mengekalkan undang-undang negeri yang sedang diguna pakai.

“Bagi kita, pendirian sangat jelas. Kita mahu mengekalkan undang-undang sedia ada dan menghormati kedaulatan undang-undang,” katanya.

Tambah beliau, sekiranya penyelesaian secara rundingan tidak dapat dicapai, maka mahkamah akan menjadi penentu muktamad dalam mentafsir peruntukan berkaitan.

“Kita akan akur dan menghormati apa juga keputusan mahkamah kelak. Itu prinsip kita,” jelasnya.

Pada masa sama, beliau berharap isu berkenaan dapat diselesaikan secara harmoni tanpa perlu menunggu penghakiman penuh demi kestabilan industri minyak dan gas yang menjadi tunjang ekonomi Sarawak.

Industri minyak dan gas merupakan antara sektor strategik utama yang menyumbang secara signifikan kepada hasil negeri dan pembangunan infrastruktur, selain membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

Justeru, Ibrahim meminta agar semua pihak memberi ruang kepada proses rundingan yang sedang berjalan dengan keyakinan bahawa penyelesaian terbaik dapat dicapai demi kepentingan bersama Sarawak dan Malaysia.

Terdahulu, PETRONAS memfailkan notis usul di Mahkamah Persekutuan Malaysia, Putrajaya bagi mendapatkan penjelasan berhubung kerangka kawal selia yang terpakai terhadap operasi petroleum syarikat itu di Sarawak.

PETRONAS memaklumkan permohonan tersebut bertujuan memastikan syarikat berkenaan dapat terus beroperasi selaras dengan kerangka kawal selia yang berkenaan serta amalan tadbir urus yang baik, sambil menegaskan ia tidak bertujuan mencabar aspirasi pembangunan Sarawak atau menghalang peranan PETROS dalam sektor tenaga negeri.

Syarikat itu turut menjelaskan bahawa keputusan memfailkan notis usul dibuat susulan rundingan yang telah berjalan sejak 2024 bersama PETROS, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak, termasuk berkaitan Perjanjian Penyelesaian Komersial (CSA) yang dimeterai sebelum ini.

Pertikaian undang-undang antara kedua-dua syarikat berkenaan antaranya melibatkan isu hak pengagihan gas di Sarawak termasuk kedudukan PETROS sebagai pengagregat gas tunggal serta tafsiran terhadap Akta Pembangunan Petroleum 1974 dan Ordinan Pengagihan Gas (DGO) 2016 Sarawak.

PETRONAS sebelum ini juga pernah menyatakan bahawa Akta Pembangunan Petroleum 1974 sebagai undang-undang persekutuan mempunyai keutamaan mengatasi undang-undang negeri selaras dengan Perkara 75 Perlembagaan Persekutuan.

Manakala, PETROS pula mempertahankan pelaksanaan DGO 2016 sebagai sebahagian daripada bidang kuasa negeri.

Bagaimanapun, kedua-dua pihak menyatakan komitmen untuk terus beroperasi seperti biasa dan menghormati proses perundangan, selain berharap rundingan yang sedang berjalan dapat menghasilkan kerangka kerjasama strategik yang lebih inklusif dan saksama demi kelestarian industri serta kemakmuran Sarawak dan Malaysia.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

17-2-2026 01:34 AM GMT+8 , Processed in 1.364587 second(s), 12 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list