Edited by Vellfire at 15-2-2026 10:39 AM

Fadillah bercakap ketika ditemui media | RAMIDI SUBARI
KUCHING: Satu perbincangan melibatkan Kerajaan Persekutuan yang diwakili oleh Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) dan Kerajaan Sarawak melalui Pejabat Setiausaha Sarawak (SFSO) akan diadakan bagi membincangkan pelaksanaan Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan, khususnya berkaitan formula agihan peruntukan kepada negeri itu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, perkara tersebut dipersetujui di peringkat Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (MTPMA63) dengan tumpuan utama adalah untuk merangka formula terbaik bagi memastikan pengagihan peruntukan yang adil kepada Sabah dan Sarawak.
“Memang dipersetujui di peringkat MTPMA63 bagaimana kita mahu menghasilkan formula agihan peruntukan di bawah 112D.
“Sekarang MOF sudah mengadakan perbincangan dengan Sabah dan selepas ini akan berbincang dengan Sarawak,” katanya kepada media ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Geran Tahunan Masjid & Surau Kawasan Parlimen Petra Jaya di Masjid Darul Ibadah di sini, pada Sabtu (14 Januari).
Menurut beliau, Sarawak mempunyai cadangan formula tersendiri, manakala Kerajaan Persekutuan pula melihat perkara itu dari sudut pandang mereka.
“Diharapkan melalui perbincangan ini, kita dapat memuktamadkan formula yang terbaik bagi menjaga kepentingan negara serta kepentingan yang termaktub dalam Perlembagaan… Sabah dan Sarawak mempunyai hak istimewa dari segi peruntukan,” jelasnya.
Fadillah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal MA63 berkata, hasil perbincangan tersebut akan dibentangkan kepada jawatankuasa berkenaan sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.
Mengulas sama ada Kerajaan Persekutuan akan menggunakan formula yang dikemukakan oleh Sarawak, beliau menjelaskan perkara itu masih belum diputuskan.
|