
Abang Johari bercakap kepada pemberita ketika ditemui di Tapak Projek RSP Santubong. - Gambar Mohd Faisal Ahmad
SANTUBONG: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mencadangkan supaya agihan kewangan daripada Kerajaan Persekutuan kepada Sarawak ditentukan berdasarkan hasil sebenar yang dijana negeri ini sendiri.
Beliau berkata, cadangan tersebut telah dibincangkan bersama Perdana Menteri sebagai sebahagian daripada usaha memperkemas formula pemberian khas kepada Sarawak di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Menurutnya, pendekatan baharu itu perlu mengambil kira jumlah sumbangan hasil negeri, termasuk cukai, hasil sumber asli serta aktiviti ekonomi lain yang menyumbang kepada pendapatan negara.
“Jika Sarawak menyumbang hasil yang besar kepada Persekutuan, maka pemberian semula kepada negeri ini juga harus mencerminkan sumbangan tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita di Tapak Projek Rumah Spektra Permata (RSP) Santubong di sini, hari ini.
Terdahulu Abang Johari hadir pada Majlis Penyerahan Kunci RSP Skim Pembesaran Kampung (SPK) Santubong di sini melibatkan 53 penerima daripada 62 unit RSP yang telah siap dilaksanakan bagi kawasan itu.
Abang Johari turut menjelaskan bahawa formula pemberian khas kepada Sarawak sedia ada perlu disemak secara berkala supaya lebih selaras dengan perkembangan ekonomi semasa dan keperluan pembangunan negeri.
Beliau berkata, semakan tersebut penting bagi memastikan agihan kewangan dibuat secara lebih adil dan berpandukan prinsip perkongsian dalam Persekutuan Malaysia.
Menurutnya, Sarawak bukan sahaja menyumbang melalui hasil petroleum dan gas, malah turut menjana pendapatan daripada sektor lain termasuk perdagangan, perindustrian dan pelaburan.
Justeru, beliau berpandangan bahawa formula agihan perlu bersifat dinamik serta mengambil kira perubahan dalam struktur ekonomi negeri.
Mengenai pemberian khas yang telah dinaikkan kepada RM600 juta untuk Sarawak, Abang Johari berkata jumlah tersebut perlu benar-benar mencukupi untuk menampung keperluan pembangunan serta kebajikan rakyat Sarawak.
Katanya, perbincangan lanjut akan diteruskan antara kerajaan negeri dan Persekutuan bagi mencapai persetujuan yang menguntungkan kedua-dua pihak.
Beliau turut mengingatkan bahawa Sarawak sebelum ini memainkan peranan penting membantu negara ketika berdepan cabaran ekonomi, justeru negeri ini wajar diberikan pertimbangan sewajarnya dalam soal pengagihan hasil.
“Tanggungjawab kita ialah memastikan setiap sen yang diperoleh dapat dikembalikan kepada rakyat melalui pembangunan infrastruktur, kemudahan asas dan program kebajikan yang berkesan,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo
|