Persiapan Tahun Baharu musnah, 4 rumah terbakar di Air Itam
Zuhainy Zulkiffli - Februari 12, 2026 @ 8:09am

Empat rumah terbakar di Kampung Pisang, Air Itam, Georgetown malam tadi. - Foto Bomba
GEORGETOWN: Empat rumah dan lima motosikal musnah dalam kebakaran di Kampung Pisang, Air Itam dekat sini, semalam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis, berkata pihaknya terima panggilan jam 7.01 malam.
"Seramai 26 penghuni dapat menyelamatkan diri sebelum ketibaan pasukan bomba," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut John berkata, pihaknya mengambil masa 15 minit bagi mengawal api daripada merebak.
"Lima motosikal iaitu jenis Kawasaki Ninja 250, dua Honda EX5, Honda RS 150 R dan Skuter Honda Air Blade musnah," katanya.
Menurut John Sagun, operasi ditamatkan jam 9.54 malam dan punca serta nilai kerugian masih dalam siasatan.
Difahamkan pasukan bomba hadapi kesukaran ke lokasi berikutan akses yang sempit. Kebakaran menyebabkan persiapan sambutan Tahun Baharu Cina keluarga berkenaan musnah.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang, berkata pihaknya sudah mengenal pasti jenis bantuan dan akan diputuskan selewat-lewatnya hari ini.
Katanya, penghuni yang tinggal di rumah pertama dan kedua tinggal sehelai sepinggang berikutan tidak sempat menyelamatkan harta benda.
"Kita sudah menawarkan tempat tinggal sementara kepada keluarga berkenaan namun mereka mahu tinggal di rumah saudara terdekat pada waktu ini," katanya yang turut meninjau lokasi.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2026/02/1508545/persiapan-tahun-baharu-musnah-4-rumah-terbakar-di-air-itam
|