Bandar Baharu: Bunyi bising di kawasan reban ayam membongkar kehadiran seekor ular sawa berhampiran rumah penduduk di Kampung Batu 22, Jalan Selama, di sini tengah malam tadi.
Ular sawa berkenaan dipercayai baru membaham ayam di reban itu dan kejadian disedari pengadu, wanita berusia 56 tahun yang kemudian menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Bandar Baharu, Leftenan (PA) Abdul Rahim Khairuddin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 12.54 tengah malam tadi.
Katanya, sepasukan anggota dari APM Bandar Baharu bergegas ke lokasi untuk menangkap ular sawa berkenaan.
"Ular sawa yang panjangnya lebih tiga meter dan berat 70 kilogram (kg) itu akhirnya berjaya ditangkap dan dibawa ke pejabat APM untuk perlindungan sementara waktu sebelum diserahkan pada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).
"Operasi tamat pada jam 1.35 pagi selepas ular berjaya ditangkap menggunakan penjerut.
"Cuaca panas ketika ini menyebabkan ular keluar dari habitatnya untuk mencari perlindungan terutama di rumah penduduk," katanya.
Katanya, sehubungan itu orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dan menghubungi pasukan penyelamat untuk membantu menangkap ular bagi mengelak sebarang risiko.