Reman lelaki kes anak tikam ibu disambung
Zuliaty Zulkiffli - Februari 9, 2026 @ 1:27pm

Suspek disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - Foto NSTP/Wan Nabil Nasir
ALOR SETAR: Suspek lelaki yang ditahan polis kerana disyaki membunuh ibu kandungnya pada 2 Februari lalu, disambung reman sehingga Ahad ini untuk membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisoner Syed Basri Syed Ali berkata, suspek sebelum ini direman selama tujuh hari bermula 3 Februari hingga hari ini.
Beliau berkata, bagaimanapun reman terhadap suspek disambung sehingga 15 Februari ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Media sebelum ini melaporkan, seorang wanita ditemukan meninggal dunia dengan tiga kesan tikaman pada badan di rumahnya di Taman Sultan Abdul Halim, Jalan Tanjung Bendahara di sini.
Mangsa dikenali sebagai Zahrullail Basir, 52, bekerja sebagai eksekutif operasi di sebuah bank di sini.
Susulan itu, polis menahan lelaki berusia 29 tahun yang juga anak kandung mangsa dalam bas persiaran ketika suspek dalam perjalanan menuju ke Selangor pada malam selepas kejadian.
Hasil siasatan awal polis mendapati, suspek dipercayai mempunyai hutang pinjaman 'along' yang dibuatnya di Pulau Pinang.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2026/02/1507228/reman-lelaki-kes-anak-tikam-ibu-disambung
|