
Tajudin (dua kiri) dan Azrin (dua kanan, berbaju hitam), diiringi polis selesai dijatuhkan hukuman di Mahkamah Sesyen Kuching, hari ini. – Gambar Chimon Upon
KUCHING: Dua sekawan dijatuhi hukuman penjara 15 tahun setiap seorang di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah melakukan rogol berkumpulan terhadap seorang gadis berusia 14 tahun, bulan lalu.
Hukuman itu dijatuhkan oleh Hakim Jason Juga terhadap Azrin Dollah, 21, dan Tajudin Mohd Kamri, 35, yang mengaku bersalah sebaik didakwa mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum setahun serta maksimum 30 tahun jika sabit kesalahan.
Dua sekawan itu didakwa melakukan kesalahan terbabit sekitar jam 4.30 pagi pada 30 Januari 2026 di sebuah hotel bajet di Jalan Sekama di sini.
Berdasarkan keterangan kes, bapa mangsa (pengadu) dimaklumkan oleh mangsa bahawa dia dan jirannya, gadis berusia 16 tahun telah dibawa ke premis tersebut oleh dua sekawan terbabit untuk melakukan hubungan seks.
Berikutan itu, bapa mangsa membuat laporan polis sehingga membawa kepada penangkapan kedua-dua tertuduh pada 3 Februari 2026.
Hasil siasatan polis mendapati terdapat empat individu terlibat dalam kes ini iaitu Azrin, Tajudin, anak pengadu serta rakannya, dengan kejadian berlaku di sebuah bilik di hotel bajet tersebut.
Sekitar jam 4 pagi, Tajudin terdahulunya didapati merogol anak pengadu yang sedang tidur dengan nyenyak, dengan disaksikan dua yang lain iaitu Azrin dan rakan kepada anak pengadu.
Setelah melihat perbuatan Tajudin, Azrin berasa ghairah dan seterusnya bertindak merogol rakan anak pengadu.
Untuk itu, Tajudin didakwa mengikut Seksyen 376(2)(c) Kanun Keseksaan dan Hakim Noorhisham Mohd Jaafar menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun berserta enam sebatan selepas dia mengaku bersalah melakukan perbuatan tersebut.
Sementara Azrin turut mengaku bersalah di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan kerana merogol rakan kepada anak pengadu dan Hakim Iris Awen Jon memerintahkan tertuduh dipenjara 12 tahun berserta empat sebatan.
Iris juga memerintahkan Azrin untuk membayar RM3,000 terhadap mangsa dan jika gagal, penjara enam bulan.
Mahkamah dalam pada itu memerintahkan hukuman penjara bagi dua sekawan terbabit untuk dijalankan secara serentak, menjadikan hukuman penjara mereka hanya 15 tahun.
Pendakwaan dilakukan secara berasingan oleh Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Ruvinasini Pandian, DPP Chuah Kai Sheng dan DPP Adriana Maisarah Mohd Farid dengan kes disiasat oleh Inspekor Nur Ain Wong Abdullah.
Dua sekawan tersebut tidak diwakili peguam.
Sumber : Utusan Borneo
|