Georgetown: Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengeluarkan notis pemberhentian kerja sementara di tapak pembinaan di Hospital Pulau Pinang (HPP) susulan insiden lori pembancuh simen jatuh dari tebing yang menyebabkan pemandu maut, kelmarin.
Notis dikeluarkan Jabatan Kawalan Bangunan selepas lawatan dilakukan Datuk Bandar MBPP Datuk A Rajendran, semalam.
MBPP dalam kenyataan malam tadi berkata, notis dikeluarkan mengikut Seksyen 70(9) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 berkuat kuasa semalam sehingga laporan dan siasatan selesai.
Lokasi kemalangan adalah tapak pembinaan bagi Klinik Pakar dan Wad (HPP).
Kelmarin, media melaporkan mengenai kejadian itu yang menyebabkan pemandu lori maut di tempat kejadian, kira-kira jam 11 pagi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak A'azelan Hassan berkata, maklumat awal yang diterima daripada pihak pengurusan tapak, lori terbabit dikatakan dalam keadaan mengundur sebelum terjunam dari tebing setinggi hampir lima meter.
Mangsa adalah warga Indonesia dan didakwa pemandu gantian pada hari berkenaan.