Anggota bomba memadam kebakaran tanah gambut di Batu 13/14, Air Itam, Muar. FOTO ihsan BOMBA
Muar: Dua letupan kecil dikesan berlaku ketika operasi memadam kebakaran tanah gambut di ladang milik Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ) di Batu 13/14, Air Itam, di sini semalam.
Letupan pertama berlaku pada 3 Februari lalu manakala terbaharu semalam, dengan insiden dikesan di Sektor D ketika operasi memadam kebakaran itu yang memasuki hari kelapan.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, siasatan masih dijalankan namun pihaknya percaya ia berpunca daripada kebakaran tanah gambut yang masih aktif.
Katanya, pihaknya berdepan kesukaran untuk akses ke kawasan terbabit berikutan asap tebal serta struktur tanah gambut longgar dan tidak stabil.
"Ia sekali gus menyukarkan usaha mengenalpasti lokasi sebenar letupan serta menjalankan siasatan secara menyeluruh," katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, ketika ini Sektor D ditutup sepenuhnya atas pertimbangan faktor keselamatan dan orang awam, manakala operasi pemadaman kebakaran diteruskan dengan bantuan helikopter yang mampu meminimumkan petugas di lapangan.
Orang ramai dinasihatkan tidak mendekati kawasan kebakaran dan sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa.
Terdahulu, Ketua Zon 4 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Norshuhada Amsari berkata, helikopter jenis Agusta AW139 (9M-BOD) digunakan untuk operasi pengeboman air yang menumpu Sektor D iaitu kawasan kebakaran terbesar dengan keluasan dianggarkan 88 hektar.
|