CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 14837|Reply: 0

[Sarawak] Tilawah, hafazan wadah hayati kandungan al-Quran

[Copy link]
Post time 6-2-2026 07:47 AM | Show all posts |Read mode
Ia sebagai asas pembinaan ilmu, pembangunan ekonomi serta kemajuan tamadun manusia, kata Premier



Abang Johari berucap merasmikan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Sarawak Ke-65 di Serian malam tadi. - Gambar UKAS

KUCHING: Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Sarawak ke-65 bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya menjadi wadah penting untuk menghayati kandungan kitab suci al-Quran sebagai asas pembinaan ilmu, pembangunan ekonomi serta kemajuan tamadun manusia.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) berkata, al-Quran mengandungi panduan menyeluruh yang bukan sahaja membentuk akhlak, malah menjadi sumber ilmu bagi memacu pembangunan manusia dan negeri.

Menurut beliau, umat Islam perlu meneladani pemikiran tokoh ilmuwan Islam seperti Ibnu Khaldun yang mengaitkan pembangunan masyarakat dengan kekuatan ilmu serta keupayaan manusia mengurus perubahan.

"Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum itu sendiri mengubah apa yang ada pada diri mereka.

"Ini bermakna perubahan memerlukan ilmu dan ilmu itu penting untuk kita membangunkan bumi serta meneroka potensi baharu, termasuk bidang angkasa dan teknologi," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Sarawak ke-65 bertemakan 'Ummah Maju Makmur: Insan Berilmu Menjulang Kelestarian Alam' di Pusat Persidangan Serian malam tadi.

Tambah beliau, Kerajaan Sarawak memberi penekanan besar terhadap pembangunan pendidikan percuma dan berkualiti kepada semua anak Sarawak tanpa mengira agama, khususnya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Jelasnya, usaha itu termasuk kerjasama strategik dengan universiti antarabangsa seperti Bristol University, United Kingdom dalam bidang semikonduktor serta penghantaran pelajar Sarawak untuk meneroka teknologi generasi baharu.

Pada masa sama, Abang Johari menegaskan pembangunan mesti diseimbangkan dengan penjagaan alam sekitar bagi menangani cabaran perubahan iklim.

Sehubungan itu Sarawak katanya, terus komited menggunakan tenaga hijau sebagai pendekatan pembangunan mampan, sekali gus menjadi contoh kepada negara lain sehingga dijemput berkongsi pengalaman di peringkat antarabangsa.

Beliau turut memaklumkan rancangan membangunkan Pusat Pengembangan Islam yang kekal di Petra Jaya sebagai hab ilmu berteraskan al-Quran yang turut terbuka untuk perkongsian ilmu dengan masyarakat bukan Islam.

"Ilmu tidak mempunyai sempadan. Ia boleh dimanfaatkan oleh semua kaum untuk membina peradaban yang lebih maju dan seimbang," ujarnya.

Majlis tersebut turut menyaksikan simbolik perasmian al-Quran penterjemahan dalam bahasa Bidayuh Sadong kepada tiga ketua masyarakat dan ketua kaum di daerah Serian.

Hadir sama anak Premier Sarawak Dayang Norjihan, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Pendidikan Inovasi dan Pembangunan Bakat Dato Sri Roland Sagah Wee Inn.

Turut hadir Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Dato Idris Buang, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Dato Sri Muhammad Abdullah Zaidel, Setiausaha Persekutuan Sarawak Dato Ahmad Nazri Mohd Hassan dan Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datuk Misnu Taha.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

11-2-2026 06:12 PM GMT+8 , Processed in 0.353160 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list