KEADAAN Sungai Pertang yang didakwa tercemar, semalam. FOTO Abnor Hamozam Abd Manap
Jelebu: Aktiviti penternakan ayam dan pengorekan pasir dikenal pasti sebagai antara punca utama pencemaran Sungai Pertang, bagaimanapun ia di luar bidang kuasa penguatkuasaan Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan negeri S Veerapan berkata, hasil siasatan JAS mendapati air basuhan reban ayam serta air cucian pasir sungai menambah beban pencemaran dan menjejaskan ekosistem sungai berkenaan.
Beliau berkata, sejak menerima aduan pertama pada 30 Oktober tahun lalu dan beberapa aduan lain selepas itu, lima kali pemeriksaan dijalankan oleh JAS di sepanjang sungai berkenaan.
"Hasil siasatan mendapati aktiviti pencucian reban ayam yang dijalankan oleh pengusaha ternakan yang mencemarkan dan menambahkan beban pencemaran Sungai Pertang.
"Selain itu, air cucian pasir sungai juga boleh menambah beban pencemaran kepada Sungai Pertang dan menyebabkan kekurangan spesis ikan seperti mana yang diadukan nelayan tempatan," katanya dalam kenyataannya, hari ini.
Veerapan berkata, aktiviti penternakan ayam di sepanjang jajaran Sungai Pertang perlu diperiksa semula oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Daerah Jelebu bagi memastikan air basuhan najis ayam disalurkan ke kolam rawatan sebelum dilepaskan ke sungai.
Selain itu, beliau berkata, aktiviti pengorekan pasir sungai perlu diperiksa oleh Pejabat Tanah dan Daerah Jelebu, Badan Kawal Selia Air Negeri Sembilan (BKSA) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Jelebu bagi memastikan ia dijalankan mengikut prosedur ditetapkan.
Katanya, JAS juga sudah mengeluarkan surat kepada JPV Jelebu, BKSA, JPS Jelebu, Pejabat Tanah dan Daerah Jelebu serta Majlis Daerah Jelebu (MDJ) berhubung aduan pencemaran Sungai Pertang pada 14 November lalu.
"JAS akan terus menjalankan pemeriksaan, rondaan dan pemantauan di sepanjang Sungai Pertang dan selain pemeriksaan ke premis yang beroperasi di Kawasan Industri Simpang Pertang supaya mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2024 dan peraturan-peraturan di bawahnya," katanya.
|