
BAU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dilaporkan hilang dari rumahnya di Kampung Tembawang Sauh, di sini sejak Rabu.
Ketua Polis Daerah Bau Superintenden Mohd Haide A. Rahman berkata laporan berhubung kehilangan kanak-kanak itu diterima pada jam 6.30 petang selepas usaha pencarian awal oleh keluarga dan penduduk kampung gagal menemukan mangsa.
Menurutnya, mangsa Kelvin Martin Beger (gambar) merupakan anak bongsu daripada lapan adik-beradik dan tinggal bersama ibunya di kampung berkenaan, manakala bapanya bekerja di luar daerah.
“Kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 1.39 petang apabila mangsa disedari tiada di rumah ketika ibunya berada di bilik air mencuci pakaian,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, mangsa dipercayai keluar melalui pintu hadapan rumah dan hanya memakai seluar tanpa alas kaki.
Tambahnya, pencarian awal oleh penduduk kampung telah menemukan sehelai seluar dipercayai milik mangsa di atas batu di kawasan kaki gunung, kira-kira dua kilometer dari rumah mangsa.
“Mangsa merupakan murid Tahun Satu di SK Jugan Bau dan juga pemegang kad orang kurang upaya (OKU) intelektual,” jelasnya.
Susulan laporan diterima, operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah diaktifkan bermula 5 Februari dengan penglibatan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta orang awam.
“Operasi SAR melibatkan seramai 61 anggota termasuk Unit K9, dibahagikan kepada empat pasukan dengan radius pencarian sejauh dua kilometer dari lokasi kejadian,” katanya.
Beliau menambah, operasi SAR akan diteruskan sehingga terdapat sebarang penemuan baharu dan kes masih dalam siasatan.
Sumber : Utusan Borneo
|