Edited by Vellfire at 5-2-2026 01:16 PM

TAKLIMAT: Masidi dan Duta Kesatuan Eropah ke Malaysia, Rafael Daerr (tengah) diberi taklimat mengenai pokok Laran Putih oleh Ketua Pegawai Eksekutif Jawala Plantations Industries Sdn Bhd, Rahman Khan (kanan).
KOTA KINABALU: Sabah terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju ekonomi hijau apabila melancarkan Buku Sistem Jaminan Perundangan Kayu Sabah Plus (Sabah TLAS+), hari ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, berkata pelancaran itu adalah bukti komitmen Sabah terhadap perdagangan kayu yang bertanggungjawab dan perlindungan hutan jangka panjang.
Katanya, Sabah TLAS+ adalah sistem pertama seumpamanya di dunia yang menggabungkan sepenuhnya pematuhan perundangan, keperluan bebas penebangan hutan di bawah Peraturan Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) serta prinsip kelestarian sukarela dalam satu rangka kerja bersepadu.
“Sistem ini meletakkan Sabah di barisan hadapan dalam memenuhi jangkaan peraturan dan pasaran global yang semakin ketat.
“Ini membuktikan kesiapsiagaan Sabah untuk berdagang secara bertanggungjawab, melindungi hutan demi generasi akan datang serta kekal sebagai rakan dagang yang dipercayai di peringkat antarabangsa,” katanya.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, pada majlis pelancaran Buku Sabah TLAS+ di sebuah hotel, di sini.
Hajiji berkata, penghasilan buku itu adalah sebagai tindak balas terhadap perkembangan pasaran global, termasuk pelaksanaan EUDR yang dijangka berkuat kuasa menjelang akhir 2026, yang menetapkan produk kayu bukan sahaja perlu sah dari segi undang-undang, malah bebas penebangan hutan, boleh dijejaki serta melalui penilaian risiko yang ketat.
“Kerajaan negeri melalui Jabatan Perhutanan Sabah mengambil langkah proaktif dengan bekerjasama bersama Fasiliti Kerjasama Kesatuan Eropah-Malaysia pada 2024 bagi menaik taraf sistem sedia ada kepada Sabah TLAS+.
“Peningkatan ini memastikan tadbir urus perhutanan Sabah kekal sejajar dengan piawaian antarabangsa, di samping memperkukuh ketelusan, akauntabiliti dan integriti sepanjang rantaian bekalan kayu,” katanya.
Beliau berkata, Sabah TLAS+ turut mengintegrasikan elemen tadbir urus termaju termasuk kebolehjejakan digital, penggunaan geolokasi serta perlindungan sosial dan alam sekitar yang lebih kukuh.
“Ia memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap keperluan bebas penebangan dan degradasi hutan, selain merangkumi prinsip sukarela yang sejajar dengan Arahan Ketekunan Wajar Kelestarian Korporat Kesatuan Eropah (EU CS3D),” katanya.
Menurutnya, secara praktikal, pengeluar kayu di Sabah kini bukan sekadar memenuhi piawaian undang-undang minimum, malah berkeupayaan membuktikan pematuhan yang telus serta kesiapsiagaan terhadap tuntutan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) global.
“Sabah kini terbuka untuk perniagaan lestari. Produk kayu kita sah, boleh dijejaki, dihasilkan secara bertanggungjawab dan berdaya saing di peringkat global,” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji turut merakamkan penghargaan kepada Kesatuan Eropah atas sokongan teknikal dan kewangan, selain memuji Jabatan Perhutanan Sabah serta pemain industri dan pihak berkepentingan yang menjayakan pelaksanaan sistem berkenaan.
Sumber : Utusan Borneo
|