
KUCHING: Seorang pengasuh wanita didenda RM20,000 atau 12 bulan penjara di Mahkamah Sesyen, hari ini akibat mendera kanak-kanak lelaki berusia setahun dengan mengikat mangsa di sebuah kerusi menggunakan kain, sehingga mangsa mengalami kecederaan.
Selain hukuman denda, Hakim Musli Ab Hamid turut mengenakan bon berkelakuan baik selama tiga tahun dengan jumlah RM2,000 berserta seorang penjamin tempatan terhadap Carol Phan, 22, selari dengan Seksyen 31(2)(b) dibaca bersama Seksyen 31(3A) Akta Kanak-Kanak 2001.
Musli juga memerintahkan Phan melaksanakan 100 jam khidmat masyarakat secara agregat dalam tempoh tidak melebihi enam bulan bermula dari tarikh perintah tersebut.
Phan mengaku bersalah apabila didakwa mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) Akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mengikut pertuduhan, Phan selaku pengasuh yang menjaga kanak-kanak tersebut telah mendera mangsa dengan cara mengikat badan mangsa ke kerusi menggunakan kain sehingga menyebabkan kecederaan di bahagian badan mangsa.
Kesalahan itu didakwa dilakukannya sekitar jam 3 petang pada 4 Disember 2025 di sebuah rumah di Taman Hui Sing di sini.
Fakta kes mendedahkan pengadu iaitu bapa mangsa, 33, mengambil anaknya yang dijaga oleh Phan dan menyedari terdapat kesan lebam melingkari kawasan perut sehingga ke bahagian belakang badan mangsa.
Susulan itu, mangsa dibawa ke sebuah klinik kesihatan sebelum pegawai perubatan menasihati pengadu supaya membuat laporan polis kerana mengesyaki kecederaan tersebut berpunca daripada perbuatan dera.
Polis kemudian menangkap Phan pada 12 Disember 2025 dan merampas sebuah kerusi budak jenis rotan dan sehelai kain sarung batik yang telah dikoyakkan untuk dijadikan bahan kes.
Hasil siasatan mendapati Phan telah mengikat mangsa di sebuah kerusi budak jenis rotan menggunakan sehelai kain batik yang telah dikoyakkan.
Siasatan lanjut seterusnya mendedahkan bahawa Phan telah menganiaya mangsa dengan cara menyebabkan kecederaan fizikal terhadap mangsa.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Asmawi Nur Haqim Mokhtar sementara tertuduh diwakili peguam Dennis Chan.
Sumber : Utusan Borneo
|