
Abang Johari (empat kiri) menyaksikan pertukaran MoU antara Shariman (tiga kiri), Kuball (dua kanan) dan Mohamad Junaidi (kanan) bersama Dr Annuar (kiri), Harden (tiga kanan) dan Wan Lizozman (dua kiri). - Gambar UKAS
KUCHING: Kerajaan Sarawak menerusi SMD Semiconductor akan bekerjasama dengan Universiti Bristol, United Kingdom dalam reka bentuk, pembangunan dan pengkomersialan teknologi semikonduktor kompaun.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kerjasama tersebut akan memberi tumpuan kepada galium nitrida (GaN) dan galium oksida yang merupakan pemacu penting kepada teknologi generasi baharu tersebut.
“Universiti Bristol memiliki kepakaran akademik bertaraf antarabangsa serta kemudahan penyelidikan terkini, manakala SMD memastikan hasil penyelidikan kekal selari dengan keperluan industri dan keutamaan strategik teknologi Sarawak.
“Perkongsian industri-akademia ini mengukuhkan keupayaan Sarawak untuk menterjemahkan penyelidikan termaju kepada aplikasi dunia sebenar, produk serta keupayaan industri jangka panjang,” ujarnya ketika berucap pada majlis pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara SMD Semiconductor, Universiti Bristol dan Yayasan Sarawak di Kompleks Satria Pertiwi di sini, hari ini.
Pertukaran MoU itu disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif SMD Semiconductor Shariman Jamil, Pengarah Akademik Universiti Bristol merangkap Ketua Projek REWIRE Prof Martin Kuball serta Pengarah Yayasan Sarawak Datu Mohamad Junaidi Mohidin.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Dr Annuar Rapa’ee dan Datuk Francis Harden Hollis serta Setiausaha Kewangan Negeri Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar.
Abang Johari berkata, SMD Semiconductor yang dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak memberi tumpuan kepada segmen hadapan bernilai tinggi dalam rantaian nilai semikonduktor, di mana harta intelek (IP) berkaitan reka bentuk cip dan teknologi baharu dibangunkan.
“Dalam peranan ini, SMD merancang untuk memainkan peranan teras dalam pembangunan teknologi semikonduktor kompaun, termasuk bahan baharu, konsep peranti, integrasi peringkat sistem serta penciptaan harta intelek, sambil bekerjasama rapat dengan rakan pembuatan global.
“Ia akan meletakkan SMD sebagai peneraju industri yang menterjemahkan hasil penyelidikan kepada pembangunan produk, teknologi dan aplikasi yang selari dengan keutamaan jangka panjang Sarawak,” katanya.
Beliau berkata, model itu membolehkan Sarawak membina keupayaan bermakna yang dapat diskalakan tanpa bergantung sepenuhnya kepada fabrikasi yang memerlukan modal besar, di samping kekal terhubung sepenuhnya dengan rantaian bekalan semikonduktor global.
Premier Sarawak turut menekankan pembangunan bakat sebagai keutamaan strategik, sambil menyatakan bahawa kepakaran mendalam dalam semikonduktor kompaun memerlukan masa untuk dibangunkan serta pelaburan berterusan.
“Sarawak melabur dalam pendidikan pascasiswazah lanjutan, khususnya di peringkat PhD, bagi membina saluran mampan jurutera dan penyelidik dalam teknologi semikonduktor kompaun.
“Melalui penglibatan Yayasan Sarawak, kerjasama ini merangkumi penajaan berstruktur bagi program PhD di Universiti Bristol, memastikan usaha pembangunan bakat Sarawak dihubungkan secara langsung dengan penyelidikan bertaraf dunia dan keperluan industri masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata, inisiatif itu mencerminkan komitmen Sarawak untuk menterjemahkan visi jangka panjang kepada keupayaan sebenar melalui pelaksanaan sistematik dan perkongsian strategik.
“Menerusi SMD dan kerjasama seperti ini bersama Universiti Bristol dan Yayasan Sarawak, kita memperkasa pembangunan bakat generasi muda serta mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai rakan dalam ekosistem semikonduktor global,” katanya.
Beliau turut berkata, kerjasama tersebut menyokong pelaksanaan Peta Hala Tuju Semikonduktor Sarawak 2030 - Beyond Moore’s Law dan selari dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 serta pelan pembangunan menyeluruh negeri.
“Pendekatan kami jelas dan konsisten. Kami sedang membina ekonomi mampan berteraskan inovasi dengan melabur dalam teknologi, bakat dan perkongsian yang memberi impak jangka panjang,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo
|