Gangguan bekalan air turut menjejaskan operasi fasiliti penjagaan kesihatan, perkhidmatan awam: Lau

“Penduduk tidak boleh terus diminta bersabar tanpa pelan tindakan yang jelas, garis masa yang munasabah dan langkah mitigasi yang berkesan.”
Kaunselor Kevin Lau Pengerusi SUPP Cawangan Bawang Assan
SIBU: Masalah gangguan bekalan air di Rantau Panjang, di sini bukan lagi isu keselesaan sebaliknya telah berkembang menjadi krisis perkhidmatan asas apabila menjejaskan operasi fasiliti penjagaan kesihatan dan perkhidmatan awam.
Gangguan yang berlarutan tanpa penyelesaian tuntas itu terus menekan kehidupan harian penduduk rumah panjang dan penghuni flat Program Perumahan Rakyat (PPR), selain turut memberi kesan langsung kepada pengusaha limbungan kapal dari segi operasi dan mata pencarian.
Pengerusi SUPP Cawangan Bawang Assan Kaunselor Kevin Lau (gambar) berkata, pihaknya sering menerima aduan berterusan daripada penduduk yang semakin hilang kesabaran terhadap masalah berulang itu.
Menurut beliau, keadaan menjadi semakin serius apabila gangguan bekalan air turut menjejaskan operasi Klinik Kesihatan Rantau Panjang serta sebuah sekolah di kawasan berkenaan.
“Penduduk tidak boleh terus diminta bersabar tanpa pelan tindakan yang jelas, garis masa yang munasabah dan langkah mitigasi yang berkesan,” katanya ketika dihubungi.
Lau berkata, pihaknya telah berulang kali menggesa tindakan segera bersama Sarawak Water Sdn Bhd serta agensi berkaitan namun pelaksanaan di peringkat lapangan masih belum memberikan kelegaan nyata.
Beliau menjelaskan, projek menaik taraf Loji Rawatan Air Salim daripada kapasiti 150 juta liter sehari (MLD) kepada 300 MLD merupakan penyelesaian jangka panjang tetapi tidak boleh dijadikan alasan untuk melengah-lengahkan tindakan segera.
Menurutnya, kerja-kerja awal dan tinjauan tapak bagi Rantau Panjang telah dilaksanakan namun proses kelulusan dan pelaksanaan perlu dipercepat.
Dalam pada itu, Lau menegaskan langkah jangka pendek mesti dilaksanakan secara konsisten bagi memastikan fasiliti kesihatan awam tidak terjejas akibat gangguan bekalan air.
“Kami menggesa agar penghantaran bekalan air ke Klinik Kesihatan Rantau Panjang diberi keutamaan termasuk mempertimbangkan pemasangan tangki simpanan air tambahan,” katanya.
Masalah berkenaan turut mencetuskan perhatian awam susulan penularan sebuah video di media sosial kelmarin yang memaparkan pertengkaran antara kakitangan perubatan dan orang awam di sebuah klinik kesihatan tempatan yang dipercayai berpunca daripada ketiadaan bekalan air bersih.
Insiden itu menjadi peringatan jelas bahawa kegagalan menangani isu asas seperti bekalan air bukan sahaja menjejaskan perkhidmatan, malah berpotensi mencetuskan ketegangan awam dan menghakis kepercayaan rakyat terhadap keupayaan sistem penyampaian perkhidmatan awam.
Sumber : Utusan Borneo
|