
Tertuduh (dua kanan) bersama isterinya ketika berada di hadapan kamar Mahkamah Sesyen petang tadi selesai dijatuhkan hukum.
KUCHING: Mahkamah Sesyen hari ini menjatuhkan hukuman penjara 34 tahun berserta 24 sebatan terhadap seorang lelaki berusia 41 tahun yang didapati bersalah atas dua pertuduhan melakukan amang seksual terhadap anak tiri perempuannya berusia 15 tahun pada waktu kejadian.
Hakim Musli Ab Hamid membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.
Musli berkata selepas mendengar dan meneliti secara maksimum hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan, mahkamah memutuskan pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.
Tertuduh didakwa atas dua pertuduhan, kedua-duanya dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (SOACA) 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama, dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama.
Tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa di sebuah rumah di Petra Jaya, masing-masing pada Disember 2022 dan 5 Ogos 2023. Untuk rekod, mangsa kini berusia 19 tahun.
Fakta kes mendedahkan pertama kali tertuduh melakukan segala perbuatan tersebut terhadap mangsa tanpa kerelaannya adalah pada pagi Disember 2022 setelah tertuduh mengarahkan mangsa masuk ke dalam bilik tidur dan mengunci pintu.
Semasa kejadian, mangsa dilaporkan berasa takut, gementar, benci dan dendam terhadap tertuduh.
Pada April 2023, seorang guru sekolah menengah tempat mangsa belajar menyedari terdapat parut pada pergelangan tangan mangsa dan seterusnya berasa khuatir.
Berikutan itu, guru berkenaan mengadakan perbualan peribadi dengan mangsa dan mangsa mendedahkan bahawa dia berada di bawah tekanan emosi akibat bapa tirinya, selain menceritakan dia telah diserang secara seksual.
Guru terbabit menasihati mangsa untuk menceritakan kejadian kepada ibu mangsa namun mangsa enggan kerana khuatir ibunya tidak mempercayainya.
Kejadian kedua didakwa berlaku pada 5 Ogos 2023 juga di bilik tidur, yang menyebabkan keadaan emosi mangsa semakin terjejas dan disedari oleh guru sama.
Susulan itu, guru terbabit menghubungi ibu mangsa dan satu pertemuan diadakan.
Dalam pertemuan tersebut, mangsa memaklumkan kepada ibunya mengenai kejadian serangan seksual yang didakwa dilakukan oleh bapa tirinya, namun ibunya tidak percaya.
Tertuduh turut menafikan semua tuduhan dan mangsa kemudiannya diarahkan keluar dari rumah sebelum berlindung di rumah neneknya.
Ketika berada di rumah nenek, mangsa memaklumkan kepada ibu saudaranya bahawa dia dihantar ke situ kerana ibunya tidak mampu untuk membayar yuran sekolah, namun alasan itu menimbulkan keraguan.
Mangsa akhirnya mendedahkan kejadian sebenar kepada ibu saudaranya.
Mangsa kemudian dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut dan satu laporan polis telah dibuat.
Semasa menjatuhkan hukum, Musli memerintahkan tertuduh dipenjara 15 tahun berserta 10 sebatan bagi pertuduhan pertama mengikut Seksyen 14(a) SOACA 2017 serta tambahan dua tahun penjara dan dua sebatan di bawah Seksyen 16 akta sama.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh turut dihukum penjara 15 tahun dan 10 sebatan mengikut Seksyen 14(a) serta tambahan dua tahun penjara dan dua sebatan di bawah Seksyen 16(1) akta berkenaan.
Musli memerintahkan semua hukuman penjara berjalan secara berturut-turut, berkuat kuasa dari tarikh sabitan iaitu 3 Februari 2026.
Selain itu, tertuduh diarahkan menjalani kaunseling pemulihan sepanjang tempoh pemenjaraan dan berada di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas tamat hukuman penjara, selaras Seksyen 26(1) akta sama.
Musli turut tidak membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman yang dikemukakan oleh tertuduh menerusi peguamnya, Arthur Liang Dawat.
Pendakwaan bagi prosiding semalam dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Asmawi Nur Haqim Mokhtar.
Sumber : Utusan Borneo
|