
Abdul Karim (tengah) bercakap pada sidang media selepas menerima kunjungan hormat daripada Megat (kiri). - Gambar Mohd Faisal Ahmad
KUCHING: Kerajaan Sarawak berharap syarikat penerbangan miliknya, AirBorneo dipertimbangkan sebagai syarikat penerbangan rasmi bagi temasya Sukan SEA 2027, khususnya melibatkan penganjuran acara utama yang dijadual berlangsung di negeri ini.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, perkara itu merupakan antara dua permintaan utama yang beliau kemukakan secara peribadi kepada badan kebangsaan ketika mesyuarat berkaitan penganjuran Sukan SEA di Kuala Lumpur sebelum ini.
Menurut beliau, walaupun perkara tersebut belum diumumkan secara rasmi, perbincangan awal telah dibuat ketika pertemuan bersama Menteri Belia dan Sukan terdahulu (Hannah Yeoh), berkaitan persediaan Sukan SEA akan datang.
“Bagi Sukan SEA 2027, saya secara peribadi memohon agar AirBorneo dipertimbangkan sebagai salah satu syarikat penerbangan rasmi.
"Dengan itu sekurang-kurangnya AirBorneo dapat memainkan peranan bagi acara-acara yang diadakan di bandar raya Kuching, memandangkan sebahagian besar acara Sukan SEA 2027 akan berlangsung di Sarawak.
"Tambahan majlis pembukaan Sukan SEA 2027 juga dijadual diadakan di Sarawak, sekali gus menjadikan penglibatan AirBorneo sebagai simbol penting sokongan kepada inisiatif penerbangan negeri ini," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menerima kunjungan hormat daripada Ketua Pegawai Eksekutif AirBorneo Megat Ardian Wira Mohd Aminuddin di pejabatnya, Bangunan Baitukmakmur 2 di sini hari ini.
Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan turut menyuarakan harapan agar menjelang September 2027, AirBorneo sudah memiliki pesawat bersaiz lebih besar termasuk pesawat jet, sama ada untuk penerbangan berjadual atau sekurang-kurangnya melalui penerbangan sewaan khas.
“Walaupun belum beroperasi sepenuhnya, pesawat tersebut boleh disewa khas dengan logo AirBorneo untuk membawa kontinjen ke semua 10 negara Asia Tenggara yang menyertai Sukan SEA,” jelasnya.
Mengulas reaksi pihak persekutuan terhadap permintaan tersebut, beliau berkata, sebarang permintaan yang melibatkan Sarawak perlu diberi perhatian memandangkan skala besar penganjuran temasya sukan berkenaan.
Ini kerana katanya, Kerajaan Sarawak telah bersetuju menanggung separuh daripada kos penganjuran Sukan SEA 2027 yang dianggarkan berjumlah RM700 juta, dengan komitmen peruntukan sebanyak RM350 juta.
“Saya sendiri menandatangani jaminan kewangan tersebut sebelum dibawa ke Kabinet Persekutuan dan ia dibuat atas keyakinan penuh kerajaan negeri terhadap keupayaan Sarawak menganjurkan temasya ini,” katanya.
Beliau menegaskan, dengan komitmen kewangan dan tanggungjawab besar yang dipikul oleh Sarawak, maka sebarang permintaan termasuk sokongan terhadap AirBorneo wajar dipertimbangkan oleh kerajaan persekutuan.
Abdul Karim turut yakin penganjuran Sukan SEA 2027 bukan sahaja akan mengangkat nama Sarawak di peringkat serantau, malah menjadi platform penting untuk memperkenalkan keupayaan negeri ini dalam sektor penerbangan dan penyiaran.
Sumber : Utusan Borneo
|