Presiden AS ancam tindakan kekerasan jika lebih ramai penunjuk perasaan terbunuh

Keadaan di salah sebuah kawasan sibuk di Teheran pada Ahad di mana papan tanda memaparkan mesej daripada Setiausaha Majlis Keselamatan Nasional Agung yang bermaksud 'Jaga-jagalah askar kamu' sebagai tanda amaran buat Amerika Syarikat (AS) dan rejim Israel susulan hantaran media sosial oleh Trump yang menyokong protes antikerajaan. - Gambar AFP
PARIS: Pertelingkahan terus tercetus di antara penunjuk perasaan dan pasukan keselamatan di Iran, menurut kumpulan hak asasi manusia dan media tempatan pada Ahad, ketika demonstrasi yang dicetuskan oleh kemarahan awam terhadap peningkatan kos sara hidup memasuki minggu kedua.
Sekurang-kurangnya 12 orang termasuk anggota pasukan keselamatan terbunuh sejak protes tercetus dengan mogok pekedai di Teheran pada 28 Disember lalu, menurut statistik berdasarkan laporan rasmi.
Sepanjang malam protes memaparkan slogan mengkritik pihak berkuasa ulama republik Islam itu dilaporkan di Teheran, Shiraz di selatan dan beberapa kawasan di barat di mana pergerakan itu tertumpu, menurut badan pemantau Agensi Berita Aktivis Hak Asasi Manusia (HRANA) yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).
Demonstrasi tersebut paling ketara di Iran sejak pergerakan 2022-2023 yang dicetuskan oleh kematian wanita dalam tahanan reman polis Mahsa Amini.
Protes terbaharu tertumpu di beberapa kawasan di barat dengan populasi besar minoriti Kurdis dan Lor, satu cabaran baharu bagi pemimpin agung Ayatollah Ali Khamenei, 86, yang memerintah sejak 1989.
Jurucakap Fatemeh Mohajerani memberitahu televisyen rasmi pada Ahad bahawa penduduk Iran akan menerima elaun bulanan menyamai nilai US$7 sepanjang tempoh empat bulan akan datang.
Presiden AS Donald Trump pada Ahad memberi amaran kepada Iran bahawa AS akan bertindak keras jika lebih ramai penunjuk perasaan maut. "Kami memantau situasi dengan rapat sekali.
"Jika mereka mula membunuh orang ramai seperti sebelum ini, saya fikir mereka akan diserang habis-habisan oleh AS," kata Trump kepada para wartawan di atas pesawat Air Force One, sehari selepas operasi menangkap sekutu Teheran Presiden Venezuela Nicolas Maduro.
Protes berlaku di 23 daripada 31 wilayah Iran dan menjejaskan sekurang-kurangnya 40 bandar kebanyakannya kecl dan bersaiz sederhana, menurut statistik AFP berdasarkan pengumuman rasmi dan laporan media.
Kumpulan hak asasi manusia Hengaw yang berpangkalan di Norway mendakwa, anggota Pengawal Revolusi melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan di daerah Malekshahi, wilayah barat Ilam pada Sabtu, membunuh empat penduduk Kurdis.
Kumpulan itu berkata, mereka masih memeriksa laporan bahawa dua lagi maut dan puluhan cedera, selain menuduh pihak berkuasa menyerbu hospital utama di bandar Ilam untuk merampas mayat penunjuk perasaan.
Organisasi bukan kerajaan (NGO) Hak Asasi Manusia Iran yang juga berpangkalan di Norway, turut menyatakan empat maut manakala 30 cedera selepas pasukan keselamatan menyerang protes di Malekshahi.
Ia berkata, majlis pengebumian pada Ahad berlangsung dalam keadaan orang ramai melaungkan slogan mengecam kerajaan dan Khamenei.
Kedua-dua organisasi memaparkan rakaman mayat berlumuran darah bergelimpangan dalam video yang disahkan oleh AFP.
Media Iran sementara itu menyatakan seorang anggota pasukan keselamatan terbunuh dalam pertelingkahan dengan perusuh yang cuba menyerbu sebuah pejabat polis, manakala dua penyerang maut.
Di Teheran, demonstrasi berselerakan dilaporkan malam Sabtu di daerah timur, barat dan selatan, menurut agensi berita Fars.
Pada Ahad, kebanyakan kedai di ibu negara dibuka namun jalanan kelihatan kurang sesak berbanding kebiasaan, manakala polis antirusuhan dan pasukan keselamatan dikerahkan di persimpangan utama, menurut pemantauan AFP.
Imej disahkan AFP menunjukkan pasukan keselamatan menggunakan gas pemedih mata untuk menyuraikan sekumpulan penunjuk perasaan yang berkumpul di tengah Teheran pada Ahad.
Menurut HRANA, sejak minggu lepas sekurang-kurangnya 582 orang telah ditangkap.
Di luar negara, beberapa ratus orang mengadakan rali berasingan di Paris pada Ahad sebagai tanda solidariti terhadap protes di Iran, susulan protes serupa di London sehari sebelumnya, menurut koresponden AFP.
Sumber : Utusan Borneo
|