Hakim Danish diharap kekal momentum di Valencia
Khairil S Iswan - November 13, 2025 @ 4:55pm

Aksi Hakim Danish (nombor 13) di GP Portugal minggu lalu. Foto: FB ZK Racing
KUALA LUMPUR: Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli diharap mampu meletakkan diri dalam kelompok utama pada pusingan terakhir Kejuaraan Motosikal Dunia musim ini di Grand Prix (GP) Valencia, hujung minggu ini.
Harapan itu disuarakan Pengurus ZK Racing yang juga mentornya, Zulfahmi Khairuddin susulan prestasi memberangsangkan pelumba itu yang meraih mata Kejuaraan Dunia pertamanya di GP Portugal di Portimao, minggu lalu.
Zulfahmi berkata, kejayaan pelumba berusia 18 tahun itu menamatkan perlumbaan di tempat ke-12 dan mengutip empat mata membuktikan potensi sebenar yang ada pada Hakim Danish.
"Kita dapat lihat potensi yang ada pada Hakim Danish dan saya menaruh harapan tinggi agar dia mampu bersaing dalam kelompok hadapan pada GP Valencia nanti," kata Zulfahmi.
Pelumba asal Terengganu itu beraksi untuk pasukan Frinsa-MT Helmets-MSI sebagai pelumba gantian bagi dua pusingan terakhir musim ini menggantikan Ryusei Yamanaka dari Jepun yang terpaksa berehat akibat pembedahan jari.
Zulfahmi yang juga bekas pelumba Moto3 negara mengakui masih ada beberapa ruang yang perlu diperbaiki oleh Hakim Danish dan pasukannya untuk terus kompetitif.
"Sudah tentu masih ada beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki, namun saya tahu Danish dan seluruh pasukan sedang memberikan yang terbaik," katanya.
https://www.bharian.com.my/sukan/litar/2025/11/1471322/hakim-danish-diharap-kekal-momentum-di-valencia
|