JDT raih kemenangan sulung di ACLE
Oleh Syafiq Aznan - Oktober 21, 2025 @ 8:11pm

Aksi antara pemain JDT dan Chengdu Rongcheng dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit. Foto JOHOR Southern Tigers
KUALA LUMPUR: Johor Darul Ta'zim (JDT) meraih kemenangan sulung dalam kempen Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) musim ini selepas menjinakkan wakil China, Chengdu Rongcheng 2-0 pada aksi di Stadium Bolasepak Phoenix Hill Sports Park, Chengdu, sebentar tadi.
Selepas tewas 1-2 di tangan Buriram United dan terikat berdepan Machida Zelvia, anak buah Xisco Munoz akhirnya meraih tiga mata yang pasti bakal memberi motivasi terbaik untuk mereka meneruskan baki saingan peringkat kumpulan ACLE.
Pada aksi terbabit, pendekatan agresif yang diterapkan JDT seawal permainan dimulakan terbalas dengan gol seawal minit kelima oleh Oscar Arribas.
Arribas mengutip bola yang ditinggalkan Jairo da Silva dan membuat larian deras solo melepasi kawalan pertahanan tuan rumah sebelum melakukan penyudah kemas menewaskan Liu Dianzuo.
JDT mendapat peluang menerusi sepakan percuma pada minit ke-20 namun rembatan jarak jauh Ager Aketxe tersasar ke sebelah kanan pintu gol Chengdu Rongcheng.
Dianzuo memastikan Chengdu Rongcheng tidak ketinggalan jauh apabila penjaga gol itu cemerlang menepis percubaan Jairo pada minit ke-35 disusuli rembatan Aketxe pada minit ke-44.
Aksi selepas rehat agak perlahan namun JDT berjaya mengukuhkan kedudukan apabila Nacho Mendez menambah gol kedua mereka menerusi satu voli pada minit ke-63.
Kedudukan 2-0 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan sekali gus memaksa tuan rumah terpaksa akur dengan kekalahan kedua pada kempen kali ini.
Selepas ini, Chengdu Rongcheng akan menentang FC Seoul di tempat lawan sementara JDT akan berdepan Shanghai Shenhua di laman sendiri.
https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2025/10/1461707/jdt-raih-kemenangan-sulung-di-acle
|