Verstappen makin yakin buru kejuaraan dunia kelima
Oktober 20, 2025 @ 8:16am

Pemandu Red Bull, Max Verstappen menjulang trofi selepas menjuarai perlumbaan Grand Prix Formula Satu Amerika Syarikat di Litar The Americas, Austin, Texas. – Foto REUTERS
AUSTIN, Amerika Syarikat: Max Verstappen menegaskan dia kini benar-benar memburu kejuaraan dunia kelima selepas mempamerkan aksi kelas tersendiri untuk meraih kemenangan ketiganya dalam empat perlumbaan terakhir di Grand Prix Amerika Syarikat, awal pagi tadi.
Dalam cuaca panas terik, juara dunia empat kali dari Red Bull itu mendahului dari petak utama hingga ke garisan penamat dengan kelebihan 7.959 saat mengatasi pencabar kejuaraan, Lando Norris dari McLaren, manakala pelumba Ferrari, Charles Leclerc menamatkan saingan di tempat ketiga dengan perbezaan 4.041 saat.
Pemandu Australia yang juga pendahulu kejuaraan, Oscar Piastri dari McLaren, sekadar menamatkan perlumbaan di tangga kelima.
Selepas beberapa minggu enggan mengulas mengenai perebutan kejuaraan, juara dunia empat kali itu akhirnya mengakui yakin mampu merampas gelaran daripada genggaman dua pemandu McLaren, Piastri dan Norris.
Kemenangan berganda di Austin - dalam perlumbaan pecut dan utama - menyaksikan pemandu Red Bull itu kini mengumpul 306 mata, hanya 40 mata di belakang pendahulu Piastri dengan berbaki lima perlumbaan, termasuk dua perlumbaan pecut.
"Ya, sudah tentu peluang itu ada," kata Verstappen.
"Kami hanya perlu terus kekal konsisten dan berikan yang terbaik setiap hujung minggu. Kami akan cuba apa saja yang boleh."
McLaren sudah pun memastikan kejuaraan pengeluar buat musim kedua berturut-turut, namun mereka kini memberi tumpuan kepada pembangunan kereta 2026 menyebabkan Piastri dan Norris perlu berjuang keras mengekalkan rentak dalam perebutan gelaran individu.
Verstappen, 28, kini meraih 119 daripada 135 mata maksimum dalam lima perlumbaan terakhir ketika Mercedes dan Ferrari turut mempamerkan peningkatan prestasi.
"Ia hujung minggu yang luar biasa buat kami," kata Verstappen.
"Saya tahu perlumbaan ini tidak mudah, tetapi kalau lihat keseluruhannya, kelajuan antara saya dan Lando sangat rapat.
"Saya rasa perbezaan sebenar berlaku pada stint pertama, ketika saya berjaya membuka sedikit jurang dan itulah kelebihan yang saya kekalkan hingga ke garisan penamat."
Kebangkitan hebat Verstappen di hujung musim mengingatkan peminat kepada musim 2007 apabila Kimi Raikkonen (Ferrari) berjaya menjulang kejuaraan dunia di Brazil walaupun ketinggalan di belakang dua pemandu McLaren, Fernando Alonso dan Lewis Hamilton sebelum perlumbaan terakhir. – AFP
https://www.bharian.com.my/sukan/litar/2025/10/1461041/verstappen-makin-yakin-buru-kejuaraan-dunia-kelima
|