Khai Xing-Aaron menang pertemuan final Malaysia-Malaysia
Oktober 19, 2025 @ 4:46pm

Khai Xing-Aaron merangkul kejuaraan Malaysia Super 100 hari ini.
KUALA LUMPUR: Bekas juara remaja dunia, Kang Khai Xing-Aaron Tai akhirnya membuktikan kemampuan sebenar mereka apabila menjuarai acara beregu lelaki Malaysia Super 100, sebentar tadi.
Gandingan itu hanya memerlukan 28 minit untuk menewaskan gandingan profesional, Chia Wei Jie-Lwi Sheng Hao 21-18, 21-7 dalam pertemuan final Malaysia-Malaysia di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Educity di Johor.
Ia harus kejayaan melegakan buat gandingan itu selepas melalui siri keputusan hambar dalam beberapa kejohanan sebelum ini.
Malah, ia harus membuatkan ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi memikirkan semula rancangan untuk memecahkan gandingan muda itu sekiranya mereka gagal menunjukkan impak positif menjelang hujung tahun ini.
Bagaimanapun, Khai Xing-Aaron terpaksa bergelut pada set pertama apabila ketinggalan 9-11 sebelum bangkit menyamakan kedudukan 14-14 dan mereka tidak menoleh ke belakang lagi dengan menamatkan perlawanan dengan 21-18.
Kemenangan pada set pertama itu terus menyemarakkan semangat mereka di set kedua apabila mendahului 3-1, 9-2, 12-4, 16-6 sebelum menamatkan cabaran lawan dengan 21-7.
Kejuaraan sulung itu membolehkan Khai Xing-Aaron meraih hadiah kemenangan RM40,076 manakala Wei Jie-Sheng Hao terpaksa berpuas hati dengan RM19,277.
https://www.bharian.com.my/sukan/raket/2025/10/1460903/khai-xing-aaron-menang-pertemuan-final-malaysia-malaysia
|